PENYANYI, Hariz Fayahet,28, akui pernah cuba nak bercinta tetapi tak menjadi kerana menganggap usaha yang diberikan kepada bakal pasangannya itu mungkin tidak mencukupi.
Justeru, Hariz menganggap lagu Ku Cuba nyanyiannya itu mengisahkan tentang kisah cinta tak jadi dan jatuh bangun karier seninya.
“Saya rasa dalam banyak-banyak lagu, Ku Cuba adalah paling dekat dengan diri saya sebab saya ada semasa dari awal pembikinan lagu tersebut.
“Lagu ni pun berkaitan dengan proses saya menyanyi dari awal sehingga kini. Banyak tahun dah saya mencuba untuk naikkan nama saya, tapi orang kata ‘slowly but surely’ kan. Jadi, kita kena sabar.
“Tentang ‘ghosting’ tu, saya akui memang pernah cuba nak mulakan hubungan tapi kadang-kala saya tak faham dengan kehendak seseorang ni. Kalau saya bagi usaha lebih tak boleh, bagi usaha yang kurang pun dapat respon yang sama.
“Jadi saya memang biarkan dulu dan nak kukuhkan lagi kerjaya saya sekarang. Saya juga nak bina diri dengan sebaiknya dalam industri seni,” katanya kepada URTV.

Proses karier
Dalam pada itu, graduan Ijazah Sarjana Seni dan Budaya itu menyatakan dia belum ada rezeki untuk terpilih ke dalam program realiti seperti Big Stage.
Namun, dia tetap menyimpan impian untuk diberikan peluang sekaligus dapat menonjolkan bakatnya dalam mana-mana rancangan realiti.
“Saya pernah menjuarai program Bintang RTM pada 2018 dan pernah juga mendapat nombor ketujuh daripada 35 orang dalam program Dangdut Akademi Asia di Indonesia. Masa tu ada dalam enam ke tujuh buah negara yang sertai.
“Pada 2021, saya masuk lagi ke program realiti Lagu Cinta Kita dan selepas itu baru saya dilamar oleh label Alternate Records and Talents.
“Sekarang saya banyak menyanyikan lagu untuk OST drama sebab label saya ni merupakan anak syarikat Media Prima. Sepanjang percubaan saya dari 2018, saya rasa saya dapat maklum balas yang luar biasa apabila lagu Ku Cuba menjadi OST Sekali Lagi Cinta Kembali.
“Lagu tu ‘trending’ di Youtube dengan mencecah 300 ribu lebih tontonan. Komposer lagu itu ialah Sharon Paul dan lirik merupakan daripada pengarah terkenal, Datuk A.Aida,” jelasnya.
Hariz berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui pada Majlis Silaturahmi Aidilfitri UtusanTV yang berlangsung di pejabat UtusanTV, Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, dia berasa seronok berada di bawah syarikat rakaman yang boleh sama-sama membantu menaikkan namanya dalam persada seni.
“Lepas saya dah berada di bawah syarikat rakaman ni, perubahan karier saya tak ada la terlalu drastik sangat tapi saya yakin saya akan berada pada tahap yang saya nak.
“Saya bangga dengan proses yang saya kecapi. Ia membuatkan lebih ramai lagi kenal saya dan saya perlu terus cuba macam lagu Ku Cuba,” selorohnya.
Hariz juga bakal menghasilkan muzik versi akustik untuk lagu-lagunya iaitu Ku Cuba dan Gelora di semua platform media sosial.
Azam genggam trofi anugerah
Ditanya juga tentang harapan penyanyi lagu duet bersama Anna Hanifa iaitu Hati Yang Tersakiti, dia mengharapkan untuk mendapat peluang yang lebih meluas demi mendapat pengiktirafan dalam industri seni dan mahu sama hebat dengan barisan penyanyi legenda.
“Mungkin satu hari nanti saya akan dapat peluang yang lebih besar dari segi anugerah-anugerah atau pengiktirafan dalam industri seni.
“Saya juga mahu berdiri sama dengan barisan penyanyi hebat di Malaysia antaranya ialah Anuar Zain, Datuk Sri Siti Nurhaliza, dan Datuk Jamal Abdillah. Mereka merupakan idola saya.
“Saya turut mengharapkan sokongan padu daripada pihak keluarga, rakan-rakan. Supaya ramai lebih tahu kewujudan saya dalam industri seni suara,” akhirinya.
Hariz kini tampil dengan single terbaharu berjudul Gelora yang merupakan OST untuk drama Segenap Takdir yang ditayangkan di TV3,
Lagu tersebut mendapat sentuhan komposer muda Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh.