MELIHAT kegembiraan yang terpancar pada wajah penerima sumbangan membuatkan selebriti Ayda Jebat dan DJ Lin sekali lagi memberikan sokongan mereka kepada inisiatif Infak Corner.
Kedua-dua mereka antara yang menyumbangkan serta menyokong Infak Corner, sudut sedekah yang diperkenalkan pada acara jualan Carboot Sale @ DXN Cyberville, Cyberjaya pada Februari lalu.
Mereka menyumbangkan permainan kanak-kanak, pakaian dan barangan makanan buat pengunjung yang memerlukan pada acara jualan berkenaan.
Ayda berkata, dia terharu apabila menatap gambar mereka yang mengambil barangan di Infak Corner lebih-lebih lagi melihat senyuman yang terukir pada wajah masing-masing.
“Saya terharu terutamanya melihat kanak-kanak yang gembira bersama permainan di tangan mereka.
“Saya juga gembira kerana usaha ini memberikan manfaat kepada yang menerimanya,” kata penyanyi lagu Pencuri Hati itu.
Penyampai Suria FM, DJ Lin turut menyokong usaha Infak Corner dan seronok apabila sumbangannya habis diambil mereka yang memerlukan.
Pemilik nama sebenar Roslinda Abd Majid berkata, setiap rezeki yang diterima pasti ada bahagian untuk pihak lain.
“Terima kasih kerana beri peluang kepada saya untuk sama-sama menjayakan usaha murni ini.
“Memang seronok bila tengok mereka senyum dengan barangan makanan di tangan masing-masing,” ujar calon penyampai radio popular Anugerah Bintang Popular itu.
Sementara itu, pelakon meningkat naik Hariz Hamdan teruja menyertai Infak Corner pada kali ini sempena acara jualan sama pada 27 Mei iaitu Sabtu ini (esok).
Hariz yang kini sedang hangat dengan drama Andai Itu Takdirnya berkata, dia cukup teruja untuk turut serta menyumbang dalam ruangan Infak Corner.
“Bagi saya tujuan Infak Corner ini cukup murni, sebab bukan semua orang bernasib baik ditambah dengan keadaan ekonomi semasa yang cukup mencabar.
“Meskipun sumbangan saya tidaklah sebanyak mana, saya harap serba sedikit dapat membantu golongan yang memerlukan,” ujar Hariz yang menyumbang barangan makanan kering.
Selain selebriti orang ramai juga dialu-alukan untuk menyumbang. Infak Corner sempena Carboot Sale @DXN ialah sudut sedekah yang dibuka kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.
Orang ramai boleh hadir pada Sabtu ini di DXN Cyberville pada pukul 1 tengahari hingga 7 petang.
Selain acara jualan turut diadakan ialah persembahan artis, aktiviti kanak-kanak serta sudut kesihatan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

