POLIS Indonesia menahan tiga individu termasuk dua beranak selepas disyaki melakukan penipuan tiket konsert Coldplay di republik itu dengan memperdaya sekurang-kurangnya 19 orang mangsa.
Menurut Polis Daerah Malang, tiga suspek itu ialah Narti Werdiningsih, 47, Putri Amanda Sriana Ningsih Wibisono, 19, dan Galan Yonanda Pramudya, 22,.
Narti dan Putri merupakan pasangan ibu dan anak manakala Galan merupakan teman lelaki Putri.
Ketua Polis Daerah Malang Kota, Budi Hermanto berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan seorang daripada mangsa berusia 23 tahun berasal dari daerah Tangerang.
“Jadi, mangsa membuat laporan polis di Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia pada 19 Mei lalu. Laporan tersebut kemudian diajukan kepada kami sebelum ia dibawa ke Balai Polis Blimbing untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan menurut laporan Tribunmataram.com., semalam.
Ketua Balai Polis Blimbing, Danang Yudanto berkata, suspek Narti dan Putri telah lama meninggalkan kota Malang dan kini menetap di Probolinggo.
Ketiga-tiga suspek katanya kemudian ditahan Probolinggo pada Jumaat.
Selain menahan suspek, polis juga merampas pelbagai barang bukti terdiri dari beberapa kad debit, telefon pintar, wang, perhiasan, serta bukti pemindahan wang.
Katanya, hasil siasatan mendapati seramai 19 individu menjadi mangsa kegiatan penipuan tersebut yang bermula dari media sosial Twitter.
“Jadi, modus operandi suspek ini ialah membeli akaun Twitter yang sudah ada pengikut. Gunanya, untuk menawarkan tiket konsert artis yang datang dari luar negara termasuk tiket Coldplay.
“Harga tiket yang ditawarkan pelbagai, ada yang 2.5 juta rupiah (RM768) hingga 9 juta rupiah (RM2,765),” jelasnya.
Mangsa yang tertarik kemudiannya akan menghubungi akaun tersebut dan melakukan pemindahan wang bagi pembelian tiket konsert.
“Setelah pemindahan wang, nombor mangsa kemudiannya disekat oleh suspek,” jelasnya.
Sementara itu, polis mengesahkan pihak penganjur tidak terlibat dalam kes penipuan tiket konsert Coldplay di Indonesia.

