PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menitipkan pesanan kepada bakat baharu agar perlu sentiasa bijak melayani peminat lebih-lebih lagi menggalas status selebriti.
Menurut Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, dia akui bahawa tindak-tanduk selebriti sememangnya sentiasa diperhatikan oleh peminat dan perlu menunjukkan contoh yang baik di hadapan mereka.
Tambahnya, dia turut berpesan untuk menolak dengan cara yang baik sekiranya keadaan selebriti itu tidak mengizinkan untuk bergambar.
“Saya tahu, sebagai artis, kita memang ada hati dan perasaan, kita pun manusia juga. Menjadi seorang ‘public figure’ ni memang masyarakat nampak lagi-lagi cara berinteraksi dengan mereka.
“Jangan berikan mereka menilai buruk artis ni, jaga akhlak juga. Saya tak kata artis tak boleh buat salah, kita ni manusia yang sering buat silap juga, saya pun ada kekurangan.
“Tapi kalau boleh bila berhadapan dengan masyarakat terutamanya para peminat, kita kena hargai mereka. Nak tolak semasa mereka ajak bergambar pun, mesti selitkan dengan adab yang elok supaya tak sakitkan sesiapa,” katanya kepada URTV.
Pelantun lagu Ku Milikmu itu memberi respon berkaitan isu yang sedang ‘trending’ di media sosial iaitu membandingkan selebriti antara bersikap biadap dan sopan.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 44 tahun itu merasakan tidak adil untuk para peminat menilai sikap negatif artis jika pertemuan kali pertama itu memberi pandangan yang buruk terhadap mereka.
Tambahnya, setiap hari merupakan hari yang baru dan mungkin ada di antara mereka (selebriti) yang mempunyai hari yang buruk atau hari yang baik.
“Saya rasa susah juga kalau masyarakat menilai orang lain, sedangkan baru pertama kali jumpa. Mungkin waktu pertemuan itu mereka mengalami masalah sampai artis itu berikan respon yang kurang menyenangkan.
“Mungkin juga hari pertama para peminat bertemu dengan artis itu, dia bukan dalam keadaan baik dan kemudian kali kedua perjumpaan, mesti dia okay. Saya rasa memang tak adil untuk menilai terus begitu sebab semua orang ada hari-hari mereka.
“Saya tak rasa ‘trend’ itu untuk hal-hal jenaka, tak sesuai. Kalau baca perkataan ‘rude’ itu pun, memang rasa tak selesa tapi itu adalah realiti media sosial dan masyarakat boleh menilai apa saja.
“Saya harap kenal dulu seseorang artis itu, sebelum jatuhkan tanggapan yang tidak baik kepada mereka,” ujarnya ketika ditemui di sidang media Konsert David Foster & Friends Asia 2023 di sebuah hotel terkemuka, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pernah menangis kerana penat layan peminat
Berkongsi pengalaman lalu, Siti akui pernah menangis akibat terlalu penat melayani peminat ketika awal kemunculannya di persada seni.
“Sebenarnya, saya banyak belajar pelbagai perkara daripada peminat saya sendiri. Masa zaman saya muda remaja, saya tak larat nak layan peminat sampai menangis.
“Saya tahu peminat mesti akan faham kalau artis itu menolak ajakan bergambar dengan baik, mereka pun tak akan paksa.
“Saya letakkan diri saya di situasi mereka sebagai peminat, saya akan rasa kecewa dan sedih kalau artis tu tolak untuk bergambar dengan saya, lagi-lagi tolak dengan cara kasar.
“Saya akur, tanpa peminat, siapalah artis. Mereka setia menyokong kita. Saya tahu nak puaskan hati semua orang memang susah.
“Kedua-dua pihak kena main peranan dan saling memahami. Kalau betul peminat itu sayangkan artis kesayangan mereka, mereka pasti faham keadaan artis itu,” jelasnya.

