Maggi mengangkat tradisi masakan Malaysia dengan Mi Goreng Laksa Warisan dengan rasa asli dan aroma tersendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, Mi Goreng Laksa Warisan dipilih sebagai tema kerana ia merupakan identiti hidangan Malaysia yang mempunyai rasa asli dan aromanya tersendiri.
Menurutnya Aranols, pemilihan itu juga sebagai penghormatan kerana jenama berkenaan berjaya melakar sejarah lebih 50 tahun berada dalam industri makanan halal di negara ini.
“Maggi di bawah Nestle yang mempunyai pasukan yang arif dalam memastikan produk di bawah jenama ini diiktiraf dan mempunyai sijil halal Malaysia. Industri makanan halal mempunyai permintaan tinggi jadi kita gunakan peluang yang ada untuk memperkenalkan citarasa Malaysia ke seluruh dunia.
“Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada sambutan hidangan Laksa Malaysia yang meriah sambil kami mempersembahkan inovasi produk terbaharu kami yang memberi penghormatan kepada warisan masakan negara kita yang pelbagai dan tersendiri: Maggi Mi Goreng Laksa Warisan serba baharu kami,” katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Maggi® Mi Goreng Laksa Warisan.
Turut hadir, Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi Nestlé (Malaysia) Berhad, Ivy Tan; Pengarah Eksekutif Jualan, Nestlé (Malaysia) Berhad, Chew Soi Ping;Profesor Warisan Makanan dan Budaya Malaysia, Profesor Dr Shahrim Karim; Chef selebriti, Anis Nabilah dan Chef Maggi®, Chef Muluk.
Sementara itu, Profesor Dr Shahrim Karim berkata, laksa ialah hidangan yang berakar umbi dalam komuniti Peranakan, diilhamkan oleh warisan budaya Cina, Malaysia dan Indonesia di Asia Tenggara.
“Langkah Maggi memperkenalkan Mi Goreng Laksa Warisan adalah tepat dalam memperkenalkan jenama yang merangkumi citarasa dan budaya negara ini.
“Jiwa laksa terletak pada rasa yang bersemangat dan aromatiknya. Laksa yang baik adalah pengimbangan antara pelbagai ramuan dengan pengadukan berterusan ke arah peringkat ‘pecah minyak’, yang penting untuk rasa laksa yang sempurna yang memuncak dalam hidangan masakan yang sebenar,” jelasnya.

