UMNO bukan ‘mengkarung politik’ ketika mengadakan kerjasama dengan pihak pembangkang bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana ia dilakukan dengan kepentingan rakyat.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO telah sekian lama melakukan kerjasama politik dengan pelbagai pihak tanpa menggadaikan kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera.
“Andai ada yang cuba memainkan sentimen, kononnya kerjasama politik yang dilakukan oleh UMNO, akan menghakis kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, suka saya tegaskan, UMNO bukan ‘political chameleons’ atau mengkarung politik. Kita tetap mempertahankan empat perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur, hari ini.

Perhimpunan itu turut dihadiri Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung Sekretariat Kerajaan Perpaduan merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong serta Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.
Hadir sama, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
Ahmad Zahid berkata kerjasama terbaharu yang dilakukan UMNO selepas PRU15 dilakukan ketika parti berada di tengah persimpangan political adjustment (penyesuaian politik) ekoran tiada sebuah parti atau gabungan yang memperolehi majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan.
Katanya, bermula di awal kemerdekaan, menangani insiden 1969, kerjasama politik Barisan Nasional (BN) pada tahun 1974, ketidaktentuan politik ekoran tindakan PM Ke-7 pada tahun 2020 dan keputusan PRU15 tahun 2022, UMNO meletakkan keutamaan demi negara dengan membuka pintu bekerjasama.
“Sepanjang liku-liku penyesuaian politik yang telah dilalui UMNO, asas serta keindukan negara bangsa terus dipelihara dan terbela. Malah, ini jugalah prasyarat, yang diletakkan oleh UMNO dalam menjalin mana-mana kerjasama politik, termasuk berkongsi kuasa dengan semangat saling mempercayai antara satu sama lai,” tambahnya .
BERITA BERKAITAN Selepas 25 tahun, Anwar hadir di Perhimpunan Agung UMNO diiringi Zahid, tepukan gemuruh perwakilan
Mengambil kisah Rasulullah pernah memberikan kepercayaan kepada Abdullah ibn al-Urayqit, seorang bukan Islam, sebagai pemandu arah semasa peristiwa Hijrahtul Rasul ke Madinah, Ahmad Zahid berkata, sesuai dengan perkembangan semasa politik tanah air, apa yang diperlukan orang bukan Islam adalah perkongsian kuasa setimpal dengan kekuatan mereka.
“Inilah formula Barisan Nasional selama ini. Bezanya kini, kita meluaskan perkongsian itu, dengan mereka yang menjadi pesaing kita selama ini,” tambahnya.
Katanya, sementara kita melakukan penyesusaian politik berdasarkan realiti politik semasa, termasuklah dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan sejak 24 November tahun lalu, perkara pokok atau asas yang melibatkan soal Islam, Melayu dan Bumiputera tidak pernah dicabar atau cuba dirobek oleh mana-mana rakan kongsi politik.
“Harapan saya, kesalingan yang terbentuk ini akan memadamkan kecurigaan sesama kita. Jangan lagi ada kenyataan-kenyataan yang boleh menguris hati antara kita. Kepada sahabat-sahabat kita, jangan diusik hati dan perasaan orang Melayu. Begitu juga dengan kita, elakkan tutur dan tindakan yang boleh mengundang resah sahabat dan rakan,” tambahnya.

Beliau berkata, rakyat biasa mendengar ayat-ayat Allah dijadikan sandaran untuk sesuatu pihak mengeluarkan pelbagai fatwa politik mengikut kepentingan dan dalam soal Melayu, fatwa politik tentang assabiyah diperkatakan.
“Kini merekalah kononnya penyelamat Melayu. Dalam soal hudud, kita pernah dikafirkan dan kemudian atas kepentingan kerakusan politik mereka, disebut pula hudud bukan keutamaan. Semasa mereka berada di dalam kerajaan, mana perginya agenda RUU 355?,” katanya.
“Kita juga biasa mendengar tuduhan kepada UMNO yang berselindung di sebalik nama Bumiputera. Akan tetapi, tidak sampai pun dua tahun di puncak kuasa, Bumiputera yang kononnya menjadi agenda perjuangan mereka, telah di ‘JANA WIBAWA’ kan.
“Inilah ciri-ciri pengkhianat yang membalut dirinya dengan slogan Bersih dan Stabil kononnya,” katanya.
Menyentuh soal kalimah ‘Allah’ pula, Ahmad Zahid berkata pihak terbabit kini gegak gempita cuba menjadi juara dengan menyelewengkan fakta kononnya kerajaan hari ini, menggadai kalimah Allah.
Hakikatnya, beliau berkata pendirian UMNO tidak berubah walau seinci pun dan UMNO serta wakil parti dalam kabinet – walaupun tanpa perlu berkokok seperti ayam jantan – dengan tegas menyatakan kalimah Allah tidak boleh diguna pakai oleh agama lain.
“Alhamdulillah, penegasan kita ini juga menjadi pendirian Kerajaan Perpaduan.
“Berbanding ‘mengkarung’ politik yang menunggang agama suatu ketika dahulu, semasa bersama rakan politik yang sama seperti kita hari ini, mengatakan tidak salah untuk agama lain menggunakan kalimah Allah.
“Apa pun hujah mereka, yang jelas dan nyata mereka akan menukar kulit mengikut suasana. Melayu dan Islam bagi mereka, hanya topeng yang digunakan dalam persembahan sandiwara politik.
“Sedarlah, Melayu dan Islam bukan topengan. Melayu dan Islam punya santun dalam tindakan, hemah dan sopan dalam pertuturan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

