Nak anak soleh dan solehah? Ini ciri pasangan hidup yang terbaik untuk lahirkan generasi beriman

Dari Penulis

Mendidik anak-anak menjadi insan soleh dan solehah memerlukan ibu bapa yang beriman. Ibarat kata, semuanya bermula di rumah. Anak-anak juga memerlukan ibu bapa yang boleh menjadi contoh terbaik dalam membina hidup mereka.

Mencari ibu bapa yang terbaik di sisi Islam juga perlu diberi perhatian serius. Berikut disenaraikan ciri-ciri terbaik buat mereka yang ingin mencari pasangan hidup.

✔ PILIHLAH YANG BERAGAMA

Inilah sebesar-besar prioriti dalam memilih calon isteri atau suami. Hanya agama yang menentukan betul salah, dosa pahala, halal haram dalam setiap perlakuan dan kehidupan berumah tangga.

Hanya agama melihat perspektif kehidupan bukan setakat dunia, bahkan akhirat. Hal ini telah ditinggalkan sejak beberapa dekad lalu bila mana umat Islam dihinggapi penyakit fikrah maddiyyah (fahaman kebendaan). Yang diutamakan kerja bagus, gaji besar. Agama tak penting.

Akibatnya melahirkan hasil yang kita lihat hari ini. Senarai panjang bencana sosial amat menggerunkan hati orang-orang beriman.

✔ PILIHLAH YANG BUKAN KERABAT (SAUDARA)

Saranan ini mempunyai kaitan langsung dengan kualiti anak-anak yang bakal dilahirkan. Ini dibuktikan penemuan sains genetik bahawa kualiti kesihatan dan IQ anak-anak yang jauh dari kaum kerabat sendiri adalah lebih baik dari sebaliknya.

Dan sebab itu ramai antara cerdik pandai lahir dari perkahwinan campur. Ini juga hikmah Islam melebarkan pergaulan melepasi bangsa dan keturunan.

PILIHLAH YANG GADIS

Gadis mempunyai perwatakan yang luhur dan fitrah. Dia akan cenderung mengikut suami dari aspek didikan, nasihat dan seumpamanya. Dia senang bergurau, membahagiakan, mudah dibentuk dan tiada pengaruh lain untuk membanding-bandingkan sesuatu yang diberikan suaminya.

Situasi hari ini kadang-kadang memberikan pandangan yang betul bahawa perkahwinan di usia belasan tahun gadis-gadis amat sesuai dan patut digalakkan.

Pertimbangan keutamaan umat Islam antara pembangunan kebendaan dengan pembangunan kemanusiaan amat wajar diperbetulkan.

PILIHLAH YANG BERKETURUNAN (SUBUR)

Pelengkap kebahagiaan sesuatu perkahwinan ialah kehadiran cahaya mata. Biarpun sebanyak mana harta benda atau setinggi mana kedudukan kita dalam masyarakat, kekosongan hati tetap terasa bagi mereka yang tidak ada anak dari zuriat sendiri. Tanyalah mereka.

Dan Islam amat memahami naluri ini di samping akan menjadi sebahagian kebanggaan Rasulullah dengan umatnya yang ramai. Maka didahulukan dengan memilih calon isteri yang berpotensi melahirkan anak. Ini dapat dilihat melalui keturunannya sendiri. Bukan cuba hamilkan dulu.

✔ BERGEMBIRALAH MENYAMBUT KELAHIRAN ANAK

Kehadiran cahaya mata sama ada yang pertama atau seterusnya dan sama ada lelaki atau perempuan patutlah disambut dengan rasa gembira dan syukur. Ianya merupakan anugerah yang tidak boleh dinilai dengan segala isi dunia. Bukan semua orang Allah kurniakan walaupun bermacam usaha dilakukan.

Sikap bakal ibu dan ayah sedari awal memperlihatkan sama ada mereka bersedia dan bergembira dengan kelahiran anak atau sebaliknya. Allah berfirman, maksudnya:

“Dan sesungguhnya telah datang utusan-utusan Kami kepada Ibrahim dengan khabar gembira sambil berkata: Sejahteralah. Dia menjawab: Sejahteralah.” (Hud: 69)

Cerita ini mengisahkan sikap Nabi Ibrahim ketika menerima berita gembira dari malaikat utusan Tuhan, bahawa isterinya akan melahirkan seorang anak. Isterinya Siti Sarah akan melahirkan pewaris kerja-kerja dakwahnya. Dengan penuh kesyukuran diucapkannya kepada Allah.

Ini adalah sikap yang diajarkan Islam. Kehadiran seseorang anak adalah kehadiran kegembiraan. Sebaliknya jika ianya disambut dengan muram, sedih atau malu maka ada sesuatu yang tidak kena dalam jiwanya.

Inilah sikap Arab jahiliah bila mana mendapat khabar akan mendapat anak perempuan. Segala perancangan diatur rapi sebagai persiapan membunuh anak-anak yang tidak berdosa itu.

Jalan yang paling selamat ialah menanam anak itu hidup-hidup di padang pasir yang tandus dan gersang itu. Kadang-kadang si anak turut sama bermandi peluh dan bersusah payah menggali lubang bersama si ayah.

Cukup kedalaman, si anak ditolak dan segera ditimbus lubang itu. Jeritan, tangisan dan rayuan si anak tidak diendahkan demi menutup malu. Berakhirlah riwayatnya.

Adakah cerita ini hanya berlaku ketika itu? Adakah cuma orang Arab jahiliah sahaja memperlakukan anak sedemikian teruk? Jawabnya, anda tentu tahu.

Saban hari berita manusia jahiliah zaman moden dapat kita tatap. Hati mana yang tidak tersentuh bila melihat mayat bayi digonggong anjing, dihurung semut, diseliputi sampah. Hal ini terjadi di zaman kita dan di hadapan mata kita.

Inilah natijah dari terlalu jauh dengan Islam. Zina menjadi biasa. Curang bukan hanya oleh suami tapi isteri. Aurat bukan untuk ditutup, tapi didedahkan. Maka berleluasalah anak-anak yang tidak dikehendaki dilahirkan oleh si ibu terpaksa.

UBATNYA KEMBALILAH PADA ISLAM YANG SYUMUL

Tinggalkanlah segala kemaksiatan dan kemungkaran. Hidupkanlah budaya amar makruf nahi mungkar. Jauhkanlah sikap terikut-ikut tanpa ilmu dan pengetahuan. Suburkanlah sunah nabi dengan berkahwin secara sah dan bergembiralah dengan kehadiran anak-anak.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Telefon di tangan, anak di pinggiran

Oleh : Dr Mohd Afifuddin Mohamad DI sebuah restoran, seorang ayah duduk bersama isteri dan anak-anaknya. Makanan terhidang cantik di...

More Articles Like This