JURULATIH skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menyatakan beliau mahu ubah corak permainan bola sepak Malaysia dengan fokus kepada penguasaan bola dan mengurangkan kesilapan individu.
Bekas pengendali skuad kebangsaan Hong Kong berusia 54 tahun itu berkata, kesilapan teknikal individu ketika berdepan Kepulauan Solomon tempoh hari perlu diperbaiki segera sebelum pasukannya berdepan dengan cabaran Papua New Guinea pada aksi persahabatan antarabangsa kedua Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Selasa ini.
Jelas jurulatih kelahiran Korea Selatan itu, berbaki tiga hari sahaja lagi sebelum berdepan dengan pasukan di ranking ke-159 dunia itu, beliau tampak berkeyakinan anak buahnya mampu memanfaatkan masa yang ada untuk meningkatkan mutu permainan.
“Selepas beraksi menentang Kepulauan Solomon pada Rabu lalu, kami melihat semula permainan itu untuk menilai keseluruhan persembahan pemain pada aksi persahabatan antarabangsa ketiga musim ini yang berakhir dengan kemenangan 4-1.
“Hasil analisis, terdapat kesilapan kecil iaitu kesalahan teknikal individu, jadi kami perlu perbaiki dan mengurangkan kesilapan itu, saya fikir jika kita mahu bermain dengan aksi yang berkualiti tinggi, kita perlu atasinya, begitu juga dengan masalah membuat keputusan kerana kita perlu mengawal permainan.
BERITA BERKAITAN Hamidin, Pan Gon menghadap TMJ.., bincang isu padang atau pengurus Harimau Malaya?
Memetik laporan Harian Metro, Pan Gon berkata, beliau dan pemain berbangga hasil keseluruhan analisis dalam perlawanan baru-baru ini dengan Malaysia mendominasi permainan sepenuhnya dan statistik menunjukkan tidak banyak serangan lawan berjaya dilakukan.
“Jadi inilah yang kami mahukan, kami mahu ubah corak permainan bola sepak Malaysia dengan lebih banyak menguasai bola berbanding corak permainan lama, ketrampilan dan karakter mereka juga perlu diubah dengan memperagakan aksi yang berkualiti dan menakjubkan,” kata Pan-gon ketika ditemui sebelum sesi latihan di Pusat Latihan Terengganu FC (TFC), Kuala Nerus, petang semalam.
Ketika ditanya ketiadaan dua pemain iaitu Natxo Insa dan Feroz Baharuddin yang terpaksa dilepaskan semalam daripada kem latihan pusat kerana masalah hamstring, beliau menjelaskan ada beberapa pemain lain boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain berkenaan.
“Kami akan melihat beberapa pemain yang boleh dipanggil, lagipun pemain tengah, Nooa Laine sudah kembali cergas dan mengharapkan dia bersedia untuk menggalas tugasan di jentera tengah pasukan berdepan Papua New Guinea nanti,” katanya yang akui masih monitor beberapa pemain sebelum memutuskan kesebelasan utama dalam aksi persahabatan antarabangsa keempat musim ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

