PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bersedia berdepan tindakan sekiranya terdapat pihak dapat membuktikan kaitan baginda dengan kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan.
Reaksi Tunku Mahkota Ismail itu sebagai membalas hantaran seorang pengguna di laman X selepas keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan.
“Setuju! Saya ada cadangan yang lebih baik. Beramai-ramai bawa saya ke mahkamah dengan apa sahaja bukti yang ada. Please,” titah baginda.
Terdahulu, CAS membuat keputusan menolak rayuan yang dikemukakan FAM dan tujuh pemain warisan negara yang cuba mencabar hukuman yang dijatuhkan sebelum ini oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Mereka didapati bersalah kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang berkaitan dengan kesalahan pemalsuan dokumen.
Keputusan CAS itu menyaksikan hukuman denda sebanyak CHF350,000 yang dikenakan oleh FIFA terhadap FAM dikekalkan sepenuhnya.
Dalam masa sama, panel CAS turut memutuskan bahawa tujuh pemain warisan terbabit kekal dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan.
Bagaimanapun, CAS meringankan hukuman apabila penggantungan berkenaan hanya terpakai untuk aksi perlawanan rasmi sahaja dan bukannya menghalang mereka daripada menyertai mana-mana aktiviti lain yang berkaitan dengan bola sepak.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

