DAKWAAN warlord atau panglima perang UMNO menyertai Perikatan Nasional (PN) hanyalah permainan persepsi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kata Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut beliau, ia merupakan propaganda yang dibuat pihak tertentu yang bersifat spekulasi dan bertujuan meraih sokongan daripada rakyat.
Beliau berkata, khabar angin itu tidak akan berlaku di Kedah berdasarkan maklumat diterimanya setakat ini.
“Pada saya bertukar parti bukan sesuatu yang boleh dikira (akan berlaku), seperti kononnya 10 warlord akan pergi ke PN, ini semua persepsi. Tidak payah (kita) gunakan persepsi itu (untuk raih sokongan).
“Sememangnya dalam PRN ini, pilihan raya antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dengan PN, kedudukannya sangat jelas.
“Rakyat akan pilih BN-PH atau PN, jadi propaganda, persepsi pada waktu ini akan diwujudkan, macam-macam isu hendak dilakukan untuk meraih sokongan,” katanya pada sidang media di Alor Setar, hari ini.
Mengulas lanjut, Mahdzir memberitahu, tindakan mana-mana pemimpin atau individu yang mengambil keputusan menyertai parti lain tidak hanya melibatkan UMNO sahaja.
“Contohnya, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menyertai Majlis Ulama UMNO. Jadi, tidak perlu guna persepsi untuk pilihan raya kerana pada akhirnya rakyat akan pilih sama ada BN dan PH atau PN,” katanya.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin pernah memaklumkan PN akan mengumumkan senarai nama 10 warlord UMNO yang disisihkan untuk menyertai parti dalam gabungan itu tidak lama lagi.
Namun, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan dakwaan tiga pemimpin utama UMNO dari negeri itu dijangka menyertai PN sebagai khabar angin dan tiada maklumat lanjut berhubung perkara itu.
Menyentuh perkembangan PRN Kedah, Mahdzir berkata, senarai calon UMNO yang akan ditampilkan dalam PRN bagi mewakil BN dijangka merangkumi calon muka baharu, wanita dan ‘muka lama’.
Tambahnya, setiap DUN yang diwakili BN akan diberikan tiga nama calon bagi setiap kerusi tersebut sebelum melalui proses penilaian dan keputusan akhir dibuat oleh pucuk pimpinan menjelang proses penamaan calon.
“Senarai nama itu belum penuh (lengkap) lagi dan perincian mengenai perkara itu akan dibuat tidak lama lagi kerana dua kerusi yang belum selesai (diagihkan antara BN-PH Kedah) sebelum ini juga sedang diuruskan,” katanya.

