PELAKON Datuk Aaron Aziz akui tidak kisah sama ada seseorang individu itu mengenali dirinya atau tidak walaupun peminat menggelarkan dirinya sebagai selebriti popular.
Ujar Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 47, dia menyatakan individu yang membuat siaran langsung di TikTok dikenali sebagai Firdaus itu tampak bekerja keras demi menunaikan tanggungjawab keluarganya.
Tambahnya, dia turut menyatakan perkongsian video tersebut untuk suka-suka sahaja dan dia tiada rasa marah atas persoalan yang diajukan oleh Firdaus tentang siapa Aaron.
“Oh, Firdaus tu. Dia terkenal juga dekat TikTok. Tak apa la tak kenal saya pun, saya okay saja. Masa tu saya tengah ‘live’, jadi saya jemput dia masuk dalam ‘live’ saya, saya pun ‘follow’ dia juga.
“Saya tahu dia bekerja untuk tunaikan tanggungjawab dekat isteri dan anaknya, walaupun pekerjaannya sedemikian, dia tetap nampak bahagia dan walaupun dia nampak macam kasar, tapi saya percaya dia mungkin seseorang yang penuh dengan kasih sayang.
“Mulanya ‘fyp’ dekat TikTok, jadi saya muat naik di Instagram saya. Konten tu untuk suka-suka sahaja, tak ada apa pun. Saya tak kisah dia tak kenal saya, yang penting Allah dan Rasulullah kenal kita,” katanya kepada URTV.
Sementara itu, pelakon kelahiran Singapura itu tidak memberikan sebarang respon yang jelas mengenai ‘marketing’ kehilangan pelakon, Iedil Putra, tetapi hanya meminta penonton bersabar dan nantikan kejutan yang akan datang.
Dalam pada itu, bapa kepada tiga anak itu turut seolah-olah memberi bayangan apabila videonya yang pernah tular bersama pelakon Hollywood membuatkan netizen mengucapkan tahniah kepadanya.
Namun, kejutan yang dinantikan rupanya sudah terjawab apabila malam tadi, Netflix Malaysia memuat naik satu hantaran video pendek mengenai gabungan lakonan aktor terkenal Chris Hemsworth bersama Aaron dan Fify Azmi untuk filem Pudu Extraction Mission dalam misi menyelamatkan Iedil Putra.
Tunai ibadah haji
Pelakon drama Adam dan Hawa itu mendedahkan dirinya akan pergi menunaikan ibadah haji tetapi belum mempunyai jadual yang penuh untuk perjalanan ke sana.
Katanya, dia tidak mahu bercakap mengenai pemergian haji itu bagi menjaga hati ramai pihak terutamanya para jemaah yang belum mendapat giliran ke tanah suci.
Dalam pada itu, pelakon drama Nora Elena itu berpendapat bahawa pakej pelancaran umrah mukim 80 hari (UM80) oleh Persada Global Holidays Sdn Bhd merupakan pakej yang terbaik terutamanya untuk pesara yang mempunyai masa terluang.
Aaron turut berkongsi bahawa dia pernah menunaikan ibadah umrah selama lima kali di bawah syarikat yang sama.
“Pakej ni sangat bagus untuk semua orang terutamanya pesara sebab mereka ada masa lebih untuk diluangkan dan sambut bulan Ramadan dan Syawal di tanah suci.
“Saya juga pernah menunaikan umrah selama lima kali dengan syarikat ini dan saya percaya ia menawarkan pakej yang bagus,” katanya ketika ditemui di pelancaran pakej umrah mukim 80 hari dan majlis menandatangani memorandum kerjasama di sebuah hotel yang terletak di Kelana Jaya.
Untuk info, pakej umrah tersebut berkonsepkan program pengajian bermodul selama 80 hari selain menetap lama di tanah Arab, para jemaah juga berpeluang mendalami ilmu agama dibarisi tenaga pengajar berpengalaman yang dibawakan khas.
Maklumat lanjut boleh merujuk laman web rasmi PGH www.persadaglobal.my atau laman sosial rasmi Persada Global Holidays di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

