Tracie Sinidol jadi menantu ‘berhantu’, bangkit tuntut bela dalam Dendam Seorang Mentua!

Dari Penulis

SELEPAS fenomena Dendam Seorang Isteri dan Dendam Seorang Madu mencetuskan gelombang dalam kalangan peminat drama tempatan, Astro sekali lagi tampil ‘menggoncang’ emosi penonton dengan naskhah terbaharu yang jauh lebih berani dan mencengkam, Dendam Seorang Mentua.

Bakal menemui penonton di Astro Prima bermula 4 Mei ini, drama itu bukan sekadar kisah kekeluargaan biasa, sebaliknya ia mengangkat tema balas dendam yang cukup ekstrem sehingga sanggup menghancurkan institusi kekeluargaan demi sebuah keadilan.

Drama ini mempertaruhkan kisah Sofia, seorang wanita yang hidupnya hancur berkecai selepas dikhianati oleh kekasih dan sahabat baiknya sendiri.

Lebih tragis, Sofia terpaksa meringkuk di dalam penjara atas jenayah yang tidak pernah dilakukannya.

Namun, Sofia yang dibebaskan bukanlah wanita yang sama. Dia bangkit dengan satu misi—membalas dendam dengan cara yang paling tidak dijangka iaitu mengahwini Datuk Muzaffar, yang merupakan bapa kepada bekas kekasihnya sendiri!

Tindakan berani mati ini sekali gus meletakkan Sofia sebagai ibu mentua kepada musuh lamanya, mencetuskan perang emosi dan perebutan kuasa yang sangat luar biasa.

“Penonton hari ini semakin bijak dan dahagakan jalan cerita yang berbeza serta berani.

“Melalui Dendam Seorang Mentua, kami membawakan sebuah francais yang sudah dikenali ramai sambil meneroka perspektif baharu dalam penceritaan drama tempatan, khususnya dalam mengangkat konflik kekeluargaan yang lebih kompleks,” ujar Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Melayu Astro.

Taruhan besar diletakkan pada bahu aktres jelita, Tracie Sinidol, yang membuat penampilan sulungnya dalam slot Tiara sebagai Sofia.

Watak Sofia digambarkan sebagai seorang wanita yang berperwatakan lembut tetapi mempunyai api dendam yang membara di dalam jiwa.

Tracie bakal digandingkan dengan Chacha Maembong (Harlina) dan Hariz Hamdan (Hariz), pasangan yang menjadi punca kepada segala kehancuran hidup Sofia.

Namun, perhatian pastinya terarah kepada gandingan sulung dua ‘otai’ layar perak, Datuk Aaron Aziz sebagai Karl dan Datuk Yusry Abdul Halim sebagai Datuk Muzaffar.

Gabungan dua nama besar ini menjanjikan kualiti lakonan penuh karisma yang jarang-jarang dapat disaksikan dalam satu naskhah.

Bukan itu sahaja, peminat setia drama Melayu pastinya teruja dengan kemunculan semula Intan Ladyana sebagai Yasmin, orang kanan Datuk Muzaffar.

Penampilan Intan kali ini dianggap sebagai comeback yang amat dinanti-nantikan selepas sekian lama menyepi dari layar kaca.

“Kami juga berbesar hati dapat bekerjasama sekali lagi dengan pengarah dan penulis berbakat yang telah menghasilkan judul popular seperti Hijrah Jannah.

“Harapan kami agar drama ini mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan penonton,” tambah Norzeha lagi.

Bagi mereka yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan ‘perang’ menantu dan mentua ini, pastikan janji temu anda setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang di Astro Prima.

Anda juga boleh menyaksikan drama penuh konflik ini secara On Demand menerusi Astro GO dan aplikasi Sooka.

Adakah Sofia berjaya dengan misinya, atau dendam tersebut akhirnya memakan diri sendiri? Sama-sama kita nantikan!


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Iklan promosi ‘kegemaran M.Nasir’ tanpa kebenaran, Grab kena saman RM5 juta

SIAPA yang tidak kenal dengan susuk tubuh maestro muzik legenda tanah air, Datuk M. Nasir? Sentiasa tampil tenang dan...

More Articles Like This