PELAKON Didie Alias berkongsi mengenai hasrat anak lelakinya iaitu Muhammad Dhanial yang ingin menggayakan sut milik Allahyarham bapanya, Ridzuan Hashim pada majlis resepsi perkahwinan yang bakal diadakan pada 2 September ini.
Didie atau Nur Fadzilah Ali, 52, berkata, keputusan itu dibuat selepas dia dan anak-anak sempat berkunjung ke rumah sewa Ridzuan untuk mengemas barangan peribadi milik arwah.
“Selepas Ridzuan meninggal dunia, kami ke rumah arwah untuk kemaskan baju-bajunya. Lima orang anak saya ikut sekali dan mereka menangis ketika mengemas barangan peribadi arwah.
“Saya pun tak tahu macam mana lagi mahu tenangkan mereka. Saya akui, arwah ni orangnya sangat rapi dan pembersih. Baju t-shirt pun dia akan ‘iron’. Semua tersusun rapi dalam almari.
“Ada satu sut tu Dhanial cuba pakai dan kebetulan memang muat untuk dia. Jadi, dia beritahu untuk pakai sut tersebut bagi majlis resepsi di Kula Lumpur nanti untuk acara potong kek,” katanya kepada URTV.
Didie berkongsi perkara itu sewaktu ditemui pada sidang media di Temu Jelatek The Event Space yang diadakan di Datum Jelatek, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Didie turut meluahkan rasa terharu dan bersyukur kerana majlis resepsi anak lelakinya itu nanti bakal menerima tajaan bernilai RM500,000 daripada Temu Jelatek The Event Space.
Dalam pada itu, Didie perkongsi majlis resepsi Dhanial yang diadakan di Kuala Lumpur bakal ditaja oleh Temu Jelatek The Event Space sebanyak RM500,000.
Didie akui terkejut apabila menerima tawaran itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif SACC Convec Sdn Bhd, Nor Azlina Amran yang berminat untuk menaja keseluruhan majlis bertandang di pihaknya.

Menurut Didie, dia menyifatkan rezeki itu hadir kerana Dhanial telah berbakti menjaga bapanya sehingga akhir hayat.
“Dia orang yang terakhir dengan arwah. Dia pun terkejut apabila ada pihak mahu menaja perkahwinannya. Katanya, dia bukan siapa-siapa.
“Saya beritahu ini adalah rezeki dia kerana menjaga ayah. Ini mungkin balasan Allah untuk kebaikan yang dia pernah lakukan,” jelasnya.
Duduk di rumah sewa arwah
Dalam pada itu, Didie memberitahu pada awalnya Dhanial dan isterinya iaitu Nurkhairunisa pernah menyuarakan niat untuk tinggal bersama Ridzuan agar memudahkan soal penjagaan kesihatan bapanya.
Biarpun impian mereka tidak kesampaian untuk tinggal serumah, namun Dhanial dan isteri diberi rezeki lain apabila dapat menyambung sewa rumah tersebut.
“Satu lagi rezeki yang Allah beri pada anak saya, rumah yang arwah menetap selama tujuh tahun itu adalah kepunyaan rakannya.
“Perancangan anak saya dan isterinya selepas berkahwin nak duduk bersama arwah untuk menjaganya.
“Bila arwah sudah tiada, rumah perlu dikosongkan. Tetapi anak saya minta untuk sambung sewa dan Alhamdulillah atas persetujuan tuan rumah, anak saya dapat terus menyewa rumah arwah,” kongsinya.
Berarak dari LRT ke dewan utama
Berkongsi lanjut mengenai majlis resepsi, Didie memeberitahu, pasangan pengantin akan diarak menaiki LRT dari stesen Setiawangsa ke stesen Jelatek yang terletak bersebelahan dewan terbabit.
“Untuk majlis itu nanti, saya juga ada beri cadangan perarakan pengantin menggunakan sistem pengangkutan awam LRT dari Setiawangsa ke Jelatek terus ke dewan utama.
“Lokasi dewan tersebut bersebelahan dengan pengangkutan awam. Jadi ia mudah diakses oleh orang ramai,” ungkapnya.
Terdahulu, Allahyarham Ridzuan yang juga pelakon popular meninggal dunia akibat serangan jantung pada 4 Mei lalu iaitu kira-kira dua minggu sebelum pernikahan Dhanial.
Selain Dhanial, 29, perkahwinan Ridzuan dan Didie pada 1991 sebelum bercerai pada 2002, dikurniakan empat lagi anak.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

