Tsunami sampah punca KL banjir

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

TSUNAMI sampah. Mungkin itu gambaran yang sesuai untuk situasi pembuangan sampah di dalam sungai sekitar Kuala Lumpur.

Pembuangan sampah ke sungai di Kuala Lumpur sememangnya kritikal dan membarah dan tidak terkecuali untuk jaringan sungai River Of Life di bawah kendalian Jabatan Wilayah Persekutuan ketika ini.

Masalah pembuangan sampah itu bukan saja memberi kesan visual yang mencacatkan pemandangan, tetapi turut menimbulkan bau yang kurang menyenangkan.

Pekerja pembersihan mengutip sampah secara manual di kawasan perangkap sampah ketika tinjauan UtusanTV di Kolam Takungan Delima, Jinjang, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Lebih parah, menurut Pegawai Penerangan Jabatan Wilayah Persekutuan S. Tharmaraj, tsunami sampah yang membadai River Of Life turut menjadi satu daripada punca berlakunya banjir di Kuala Lumpur.

“Kalau orang nak cakap Kuala Lumpur asyik banjir, inilah satu daripada puncanya. Ini bukan pasal pembangunan saja yang menyebabkan banjir.

“Bila kita buat semua ini (buang sampah ke dalam sungai) sehingga menyebabkan tersumbat (di kawasan pintu air), air nak lalu macam mana. Sebab itu jadi banjir,” katanya kepada UtusanTV.

Pekerja pembersihan mengutip sampah secara manual di kawasan perangkap sampah ketika tinjauan UtusanTV di Kolam Takungan Delima, Jinjang, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca juga: Peti ais, almari, mayat antara ditemui di kawasan perangkap sampah KL

Mengulas lanjut, Tharmaraj berkata, orang ramai sepatutnya mengambil inisiatif untuk lebih bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan sungai di Kuala Lumpur.

Jelas beliau, tidak boleh ada sikap sentiasa menyalahkan orang lain sekiranya isu tersebut mahu diselesaikan secara menyeluruh.

“Jadi, kita harap, bila orang tengok perkara ini (isu pembuangan sampah ke dalam sungai yang kritikal), akan timbul kesedaraan dalam diri masing-masing.

“Kalau orang ramai tidak dapat membantu mengatasi perkara ini, sekurang-kurangnya mereka tidak menjadi satu daripada penyumbang kepada masalah sampah dalam sungai.

“Orang sanggup angkat barang yang berat dan besar tetapi tidak mampu untuk buang ke tempat yang sebetulnya. Mereka lebih sanggup buang ke dalam sungai,” katanya.

Untuk rekod, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menanggung hampir RM5 juta setahun untuk membersihkan sampah yang dibuang ke dalam sungai di sekitar Kuala Lumpur.

Pegawai Penerangan Jabatan Wilayah Persekutuan S. Tharmaraj

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM400,000 sebulan diperuntukkan untuk penyelenggaraan 366 Perangkap Sampah Automatik (PSA) yang terletak antara Sungai Klang dan Sungai Ampang.

Angka itu sememangnya cukup besar, apatah lagi ia hanya untuk membersihkan sampah semata-mata, dek kerana sikap beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.

Penolong Jurutera Kanan Pejabat Lembangan Sungai Klang, Mohd Djohan Ariff Abdul Rasid berkata, kos yang diperuntukkan itu bukan sahaja untuk mengangkut sampah tetapi juga untuk menyelenggara keroskan PSA yang ada.

Manakan tidak, lebih 60 tan sampah dibuang ke dalam sungai di sekitar Kuala Lumpur merangkumi pelbagai jenis barangan.

Antara barangan yang kerap dibuang adalah seperti botol air, plastik, pembungkus makanan dan polisterin.

Penolong Jurutera Kanan Pejabat Lembangan Sungai Klang, Mohd Djohan Ariff Abdul Rasid memantau kerja-kerja pembersihan di Kolam Takungan Delima, baru- baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Lebih mengejutkan, ada juga pihak tidak bertanggungjawab yang membuang barangan besar seperti perabot, peti ais dan almari.

Perkara itu menurut Mohd Djohan, menyebabkan lambakan sampah di kawasan PSA menjadi tidak terkawal.

“Implikasi sampah ini terhadap sungai, ia mengganggu ekosistem atau kehidupan dalam sungai. Lambakan sampah ini turut mengganggu kerja-kerja operasi banjir seperti kita mahu menutup pintu air di sungai.

“Bila dah letak PSA, sampah ini tidak akan pergi ke kawasan pintu air, cuma kuantiti sampah yang terlalu banyak akan menyebabkan pintu air tersumbat sekaligus tidak boleh ditutup.

“Kesannya, kawasan-kawasan rendah yang berdekatan akan dilanda banjir,” katanya kepada Utusan TV.

Lambakan sampah di Kolam Takungan Delima dibawa naik menggunakan jengkaut. GAMBAR: Abd Razak Aid

Mengulas lanjut, Mohd Djohan berkata, bagi membersihkan sampah di kawasan PSA itu, pihak kontraktor akan menggunakan cara manual di kawasan rendah.

Begitupun, jelas beliau, kawasan-kawasan tinggi seperti di Kolam Takungan Delima, pihaknya terpaksa menggunakan jengkaut untuk memudahkan proses menaikkan sampah.

“Penggunaan jengkaut ini menelan belanja yang agak tinggi memandangkan ia memerlukan bahan bakar untuk beroperasi.

“Begitupun, dengan jadual pembersihan PSA seminggu sekali setiap bulan, kita meminimumkan kos yang akan dikeluarkan,” katanya.

Mohd Djohan berkata, setiap sampah yang dikeluarkan itu kemudiannya akan diletakkan ke dalam Tong Roro bagi proses pengeringan.

Katanya, proses pengeringan itu akan mengambil masa dalam dua hingga tiga hari bergantung kepada keadaan cuaca.

“Apabila sampah yang dikeluarkan dari sungai ini kering, ia akan dibawa ke pusat pelupusan sampah yang berdaftar menggunakan lori sampah,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Harga diesel turun 30 sen seliter minggu ini

HARGA diesel di Semenanjung diturunkan 30 sen seliter bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun ini. Kementerian Kewangan dalam kenyataan...

More Articles Like This