DAP tidak pernah dan tidak akan mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan.
Itu penegasan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang meluahkan kekecewaan terhadap dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya parti itu akan mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anthony, dakwaan Dr Mahathir bahawa DAP dengan kedudukan 40 kerusi Parlimen dalam kerajaan akan mengugut Anwar mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi adalah tidak berasas.
Malah, kata beliau, tuduhan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab.
Anthony turut mengulangi pendirian bahawa semua ahli Parlimen DAP akan mempertahankan semua perkara asas dalam Perlembagaan.
“Ia termasuk menghormati kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan pada masa sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai seperti termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
“Saya berasa amat kecewa dengan dakwaan Tun kononnya DAP akan mengugut Perdana Menteri. Apakah beliau sudah lupa bahawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri dari Mei 2018 sehingga Februari 2020, beliau didukung oleh 42 ahli Parlimen DAP? Adakah DAP pernah menarik sokongan daripada beliau atau mengugut kedudukannya?,” katanya dalam kenyataan.
Baca artikel berkaitan: Promosikan Malaysia berbilang bangsa bertentangan Perlembagaan – Tun M
Mengulas lanjut, Anthony yang juga ahli Parlimen Seremban menegaskan DAP tidak akan bermusuhan dengan mana-mana kaum.
Katanya, parti itu akan terus berkhidmat demi negara dan memainkan peranan untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara.
“Sejak negara mencapai kemerdekaan, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara berbilang kaum yang dapat hidup secara aman. Adakah Tun lupa berkenaan visi beliau untuk melahirkan Bangsa Malaysia melalui Wawasan 2020? Mengapa hari ini beliau sanggup mengambil satu pendirian yang begitu bermusuhan dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia?
“Tun Dr Mahathir tak perlu bimbang. Malaysia akan sentiasa kekal sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di bawah Kerajaan Perpaduan,” tegasnya.
Semalam, Dr Mahathir mendakwa tindakan mempromosikan Malaysia sebagai negara berbilang bangsa bertentangan dengan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.
Beliau mendakwa, Perlembagaan tidak pernah menyebut bahawa Malaysia sebagai negara berbilang kaum.
Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut mendakwa Anwar terpaksa mengikut manifesto DAP khususnya menjadikan negara pelbagai kaum manakala agama rasmi Islam diganti dengan negara sekular iaitu tiada agama rasmi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

