ISU rasuah dan salah guna kuasa yang didakwa berlaku dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) disifatkan amat berbahaya kerana menjejaskan integriti sistem pendaftaran negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, gejala rasuah yang berlaku dalam JPN itu sekali gus membahayakan keselamatan negara dan merosakkan kepercayaan orang awam terhadap kerajaan dan institusi-institusi awam.
Menurut Jais, pendedahan Perdana Menteri berhubung isu rasuah dalam JPN itu juga disifatkan tepat.
Malah, kata beliau, pendedahan itu memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.
“Masalah rasuah dan salah guna kuasa adalah isu serius yang telah menjadi budaya dalam pelbagai organisasi dan institusi termasuk di JPN.
“Rasuah dan salah guna kuasa dalam JPN amat berbahaya kerana integriti sistem pendaftaran negara yang terjejas akan membahayakan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Jais turut mencadangkan beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi menangani masalah rasuah dan salah guna kuasa dalam jabatan tersebut.
Beliau berkata, proses pendaftaran perlu melalui penambahbaikan sistem dan teknologi bagi mengurangkan kebergantungan kepada interaksi manusia dan mengurangkan peluang untuk penyelewengan.
Baca artikel berkaitan: Dua individu miliki nombor kad pengenalan sama isu lama – JPN
Jelasnya, MCW juga menyarakan reset warganegara dibuat dengan memperkenalkan kad pengenalan baharu yang mempunyai ciri-ciri keselamatan terkini kerana kad pengenalan sedia ada telah digunakan hampir 15 tahun dan mudah diceroboh.
Selain itu, kakitangan JPN juga perlu diberikan latihan etika untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab sebagai penjawat awam dan integriti dalam perkhidmatan.
Pada masa sama, sistem pengurusan yang kukuh dan prosedur ketelusan yang jelas juga perlu dikuatkuasakan dalam JPN temrasuk pemeriksaan dalaman, audit dan penilaian prestasi.
Jais turut mencadangkan supaya mekanisme aduan dan perlindungan pelapor diwujudkan untuk kakitangan JPN serta orang awam melaporkan sebarang penyelewengan atau tindakan rasuah.
“Hukuman yang tegas bagi kesalahan rasuah dan salah guna kuasa juga penting bagi memastikan keadilan dan pencegahan jenayah ini.
“Budaya integriti juga perlu dibina dalam kalangan kakitangan JPN melalui kempen komunikasi, pendidikan moral dan etika serta contoh teladan daripada pengurusan dan pemimpin,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri mendedahkan JPN dan Jabatan Imigresen sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Anwar berkata, beliau menerima menerima maklumat wujudnya unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warga negara dengan bayaran tertentu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

