PEMBUKAAN rasmi Laluan LRT Shah Alam hari ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha kerajaan memperkukuh sistem pengangkutan awam negara, sekali gus meningkatkan keterhubungan serta memudahkan pergerakan rakyat di Lembah Klang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, laluan baharu itu bukan sekadar menambah rangkaian rel moden negara, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, pembangunan bandar mampan serta memperluaskan akses rakyat kepada peluang pekerjaan dan perkhidmatan.
Beliau berkata, projek bernilai RM16.63 bilion itu adalah antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara bagi memenuhi keperluan mobiliti rakyat yang semakin meningkat.
“Pembukaan Laluan Shah Alam melengkapkan satu lagi rangkaian pengangkutan rel moden yang menghubungkan kawasan kediaman, pusat komersial, institusi pendidikan, hospital serta kawasan perindustrian di barat Lembah Klang.
“Dengan pembukaan laluan ini, rakyat kini mempunyai satu lagi pilihan mobiliti yang lebih selesa, cekap dan boleh dipercayai untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Laluan Shah Alam yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Anthony berkata, kemudahan itu bukan sahaja membantu menjimatkan kos perjalanan harian pengguna, malah meningkatkan tahap ketersambungan dan produktiviti rakyat.
Beliau berkata, bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar dan menyeluruh, Laluan Shah Alam turut disokong oleh rangkaian bas perantara serta perkhidmatan Rapid KL On-Demand.
Katanya, integrasi pengangkutan itu penting dalam melengkapkan ekosistem ‘First Mile, Last Mile’, sekali gus membolehkan pengguna menikmati perjalanan yang lebih bersepadu, mudah dan cekap dari titik permulaan sehingga ke destinasi akhir.
Menurut beliau, pembukaan laluan baharu itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperluaskan jaringan pengangkutan awam moden, bersepadu dan bertaraf dunia demi manfaat rakyat.
“Lebih penting, pelaburan ini akan terus memberi manfaat besar kepada rakyat, merangsang pertumbuhan ekonomi dan menyokong pembangunan bandar yang lebih mampan demi kemakmuran negara,” katanya.
Anthony turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), pihak berkuasa tempatan serta rakan strategik yang terbabit dalam memastikan projek itu dapat disiapkan dan beroperasi dengan lancar serta selamat.
Beliau berharap pembukaan Laluan Shah Alam akan menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan pengangkutan awam, sekali gus mengukuhkan agenda mobiliti mampan negara.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

