JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) tegas dengan prinsip tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan kakitangannya.
Ketua Pengarah Pendaftaran, Zamri Misman menegaskan, JPN mengambil serius mengenai pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa jabatan itu sedang disiasat berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Menurut Zamri, pihaknya kekal komited menangani gejala rasuah di peringkat jabatan.
Beliau menjelaskan, ia termasuk melaksanakan penambahbaikan prosedur pengeluaran dokumen-dokumen pengenalan diri secara berterusan.
“JPN juga mengadakan pelbagai program pengukuhan integriti kakitangan bagi memastikan tiada sebarang ruang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Wujud ‘kacang hantu’ di JPN, Imigresen – Zahid
Mengulas lanjut, Zamri turut mengingatkan orang ramai bahawa pihaknya tidak melantik ejen atau orang tengah bagi sebarang urusan di JPN.
“Jangan mempercayai tawaran perkhidmatan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dengan mengenakan sebarang bayaran.
“Maklumat mengenai prosedur permohonan dan bayaran-bayaran yang dikenakan boleh dirujuk di portal rasmi JPN atau boleh hadir ke mana-mana 212 pejabat kami untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan,” jelasnya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Perjumpaan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri mendedahkan Jabatan Imigresen dan JPN sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Menurut Anwar, beliau menerima maklumat ada unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warganegara dikenakan bayaran tertentu kepada mereka yang layak mendapat status kewarganegaraan.
Pada awal Jun lepas, media melaporkan dua pegawai JPN ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai bersekongkol dengan sindiket pengeluaran sijil lahir dan MyKid secara haram.
Penahanan itu susulan pendedahan wujudnya sindiket menawarkan pakej menjual bayi tak sah taraf atau bayi pendatang tanpa izin kepada warga tempatan lengkap dengan sijil lahir dan MyKid sah dikeluarkan JPN pada harga serendah RM3,000.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

