PEMUDA Perikatan Nasional (PN) membuat 50 laporan polis seluruh negara terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng susulan kenyataan didakwa menyentuh isu agama, kaum dan diraja (3R).
Memetik laporan Sinar Harian Online, Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, kenyataan dibuat Ahli Parlimen Bagan itu merupakan perbuatan cukup rasis, melampau serta prejudis terhadap kepimpinan PN terutama di Kedah.
Ia melibatkan kenyataan didakwa dikeluarkan Guan Eng yang menyentuh mengenai perobohan tokong Buddha atau Cina jika ‘gelombang hijau’ menguasai Pulau Pinang.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, Guan Eng sebagai bekas Ketua Menteri Pulau Pinang sudah pasti tahu tugas-tugas penjawat awam.
Katanya, ia termasuk tugas pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukan campur tangan atau arahan politik.
Malah, Wan Ahmad Fayhsal mempersoal mengapa Guan Eng sanggup meracuni pemikiran pengundi Cina dengan kenyataan sedemikian.
“Saya tidak faham kenapa Guan Eng sanggup meracuni pemikiran pengundi Cina dan menakutkan mereka dengan Gelombang Hijau.
“Untuk itu, kami menuntut Guan Eng memohon maaf secara terbuka kepada PN dan seluruh umat Islam berhubung kenyataan yang telah dibuat itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal turut meminta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengotakan janji bahawa mana-mana pihak atau individu yang menyentuh isu 3R supaya menghantar kereta polis di hadapan rumah mereka.
“Maka kami Pemuda PN ingin melihat Guan Eng hadir ke balai polis untuk memberi keterangan dan penjelasan berhubung perkara ini,” ujarnya.
Baca artikel berkaitan: ‘Jangan lakukan pembunuhan karakter’, Zahid percaya Guan Eng sedia disiasat
Sementara itu, mengulas kenyataan Guan Eng bahawa kenyataannya telah disalah tafsir, Wan Ahmad Fayhsal berkata, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu boleh membuat laporan polis untuk membela dirinya.
Beliau berkata, jika Guan Eng merasakan beliau tidak bersalah dan laporan media tidak benar, Pengerusi DAP itu boleh bertindak menyaman media tersebut.
“Untuk keadilan, Guan Eng perlu membuat laporan polis dan menjelaskan segalanya, sekali gus membela dirinya.
“Kita Pemuda PN boleh ‘tutup buku’ sekiranya dia tampil memohon maaf secara terbuka demi keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini,” ujarnya.
Sebelum ini, sebuah portal berita memetik laporan akhbar berbahasa Mandarin, melaporkan Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dipetik mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.
Bagaimanapun, Guan Eng menafikan pernah mendakwa PN akan merobohkan tokong sekiranya berjaya menawan Pulau Pinang.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ucapannya dalam bahasa Mandarin itu telah diputarbelitkan seolah-olah ada pihak yang ingin merobohkan tokong Buddha atau tokong Cina.
Guan Eng menjelaskan, ucapannya itu dibuat merujuk kepada kes sebuah tempat ibadat Hindu yang dirobohkan pada Julai 2020 di Kedah.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

