POLIS akan mewujudkan pusat sehenti di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kelantan bagi memudahkan urusan pihak parti mendapatkan permit ceramah sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pusat sehenti berkenaan akan mula beroperasi selepas hari penamaan calon, Sabtu ini.
“Selain itu mereka (pihak parti) boleh mendapatkan nasihat tempat sesuai untuk diadakan ceramah, kita (polis) tidak mahu ada pertembungan.
“Kita mahu PRN berjalan dengan baik dan dalam suasana persaudaraan. Soal menarik undi itu soal berbeza tetapi dari segi keharmonian dan tatasusila adab sopan kena jaga,” katanya.
Beliau berkata demikan pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.
Baca juga: Setiausaha politik Fahmi buat laporan polis terhadap Papagomo susulan kenyataan fitnah
Muhamad Zaki berkata, kontinjen Kelantan turut mendapat tambahan 2,197 anggota bagi menghadapi PRN.
“Anggota dan pegawai sedia ada berjumlah lebih 5,000 orang. Pihak kami akan sentiasa memberi nasihat, bantuan jika diperlukan. Kita yakin PRN di negeri ini akan berjalan dengan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan khianat bendera parti di beberapa daerah di Kelantan, namun kes terbabit telah diselesaikan.
“Setakat ini masih terkawal, kita mengingatkan penyokong parti jangan membawa masalah dalaman parti sehingga merebak ke luar seterusnya mengganggu orang lain.
“Tindakan lebih tegas akan dikenakan kepada mana-mana penyokong parti sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.
Selain Kelantan, PRN akan turut diadakan serentak di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu dengan hari pengundian ditetapkan pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

