KEMENTERIAN Perdagangan dan Komoditi (KPK) bersedia untuk mengorak langkah melalui penjajaran program-program dan aktiviti kementerian bagi menyokong aspirasi Ekonomi Madani.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penting untuk negara terus mengatur strategi supaya tidak bergantung semata-mata kepada penghasilan komoditi diperingkat huluan.
Katanya, negara juga perlu mempelbagaikan produk hiliran bernilai tambah tinggi.
“Untuk mengoptimum penggunaan tanah perladangan sedia ada, KPK melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mempergiat penghasilan baka sawit hibrid yang dapat menghasilkan minyak lebih banyak dengan menggunakan keluasan tanah terhad.
“MPOB sebagai institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga akan terus memastikan produk sawit yang dihasilkan sentiasa berkualiti serta mampan.
“Malah, turut diambil kira cabaran masa kini yang dihadapi terutamanya penolakan Eropah atas dakwaan pelbagai isu seperti penyahhutanan dan keselamatan makanan,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga: Ekonomi MADANI kerangka utama ekonomi, rakyat bergerak ke arah lebih baik
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri menambah, sektor agrikomoditi akan terus diperkasa melalui pelbagai inisiatif yang akan diperkenalkan Kementerian.
Jelas beliau, sektor tersebut amat penting bagi ekonomi negara selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan dan meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
Menurut Fadillah, hasrat untuk mencipta kekayaan baharu negara melalui aset sedia ada negara seperti biodiversiti dalam pasaran perdagangan karbon sektor agrikomoditi akan turut diberi perhatian.
Katanya, usaha-usaha pemuliharaan dan penghutanan semula yang dilaksanakan adalah bukti bahawa Malaysia amat menitikberatkan pemuliharaan sumber hutan bagi mengekalkan kemampanan alam sekitar.
“Bahkan, KPK menerusi agensi di bawahnya telah menggerakkan Program Penghijauan Malaysia yang merupakan agenda nasional bagi menghadapi cabaran perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
“Kementerian turut menyambut baik usaha Sarawak memperintis kenderaan menggunakan tenaga hydrogen serta CCUS (Carbon Capture, Utilisation & Storage).
“Justeru, kementerian turut mendukung inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan pemulihan kelestarian alam menerusi pendayagunaan teknologi hijau seperti penggunaan biodiesel sawit,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat sebagai wadah baharu bagi mengangkat semula darjat serta martabat negara.
Menurut Perdana Menteri, ia bertanggungjawab menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju di rantau Asia Tenggara yang akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan lebih bermutu.
Jelasnya, Ekonomi Madani juga akan menjadi induk kepada beberapa lagi dasar khusus yang akan diumumkan kelak termasuklah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

