Semalam, seawal pagi sudah bergema alunan selawat dan zikir munajat sempena menyambut kedatangan 10 Muharram dalam kalendar Islam. Sehubungan itu, sempena mengimarahkan bulan Muharam, pihak Rumah Kasih Nurhasanah menganjurkan program bagi menyemarakkan amalan sunat.
Pengetua Rumah Kasih Nurhasanah, Ustaz Md Zawawi Ramli berkata, beliau berasa bertanggungjawab memberi contoh teladan yang baik bukan sahaja kepada anak-anak yatim dibawah bimbingannya, malah mengajak umat Islam untuk menghayati dan mengimarahkan bulan Muharam dengan mengadakan pelbagai aktiviti sesuai mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.
Bertempat di Jalan Pimping, Ampang Height, Ustaz Zawawi telah menyusun rangkaian aktiviti bagi memberi semangat kepada anak-anak yatim di bawah bimbingannya untuk sama-sama menghargai dan menghayati perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW.
“Selain menghidupkan amalan sunat sepanjang 10 Muharam, kita juga mahu melatih jiwa anak-anak agar mudah mendekatkan diri kepada Allah. Dengan adanya program sebegini dapat mendidik dan melatih bukan saja anak-anak yatim di sini malah ia turut membuka mata masyarakat betapa pentingnya mendidik anak-anak sedari usia awal untuk mengetahui betapa banyaknya kelebihan bulan penting ini,” katanya.


Program bermula dengan gotong-royong memasak bubur asyura, sebelum diagihkan kepada anak-anak yatim oleh kelab anak yatim Malaysia.
Majlis turut dimeriahkan dengan bacaan maulid, marhaban, qasidah, tausiah dan doa 10 Muharam. Turut diadakan Perjalanan Kembara Kasih Selawat Bersama-sama melibatkan perarakan motosikal berkuasa tinggi dengan kerjasama Anita Bikers Group bersama kelab kereta Black & White dan juga biker pengiring (KAY) yang memulakan perjalanan dari Galeri Nur Raudhah, membawa bersama kira-kira 30 orang anak yatim.
“Bukan sekadar memperingati 10 Muharram dengan pelbagai amalan sunat, tetapi kami juga ingin menggembirakan anak-anak yatim ini apabila diberi peluang menaiki kenderaan beramai-ramai makan angin melihat panorama di sekitar Kuala Lumpur. Semoga majlis ini diberkati Allah SWT,” kata Ustaz Zawawi.

_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

