PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan orang ramai agar tidak memberi undi terhadap parti yang ‘memperbodohkan’ rakyat.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, antara ciri-ciri parti tersebut adalah memainkan isu perkauman dan agama serta berani ‘melawan’ istana.
Menurut Anwar, pengundi perlu menjadikan pilihan raya negeri (PRN) kali ini sebagai indikator kebijaksanaan mereka memilih parti yang mendahulukan rakyat.
“Saya mahu anda semua berikan sokongan kuat kepada semua calon PH-Barisan Nasional (BN), kita buktikan kepada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang rakyat lebih bijak dalam menilai calon dan parti mana yang mendahulukan rakyat.
“Mari kita bekerja keras, saya mahukan kemenangan besar di semua kerusi yang ditandingi… kita bagi knock out kepada Bersatu dan PAS pada PRN ini,” katanya memetik laporan Bernama.
Baca juga: DAP tak pernah halang peruntukan untuk Islam, Melayu – Anwar
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa PRN bukan medan ahli politik mencerca antara satu sama lain.
Sebaliknya, jelas beliau, PRN adalah satu daripada platform terbaik untuk para pemimpin politik membentangkan hala tuju parti masing-masing.
Menurut Anwar, beliau tidak rela melihat rakyat diperbodoh oleh pemimpin politik khususnya Perikatan Nasional (PN) yang didakwa setiap hari membohongi rakyat bagi menutup kegagalan mereka semasa menjadi kerajaan.
“Dalam kempen beliau, hari-hari (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) kata Anwar bodoh, tidak tahu pasal ekonomi… itu dia cakap dan saya tak kisah pun, janji saya dan kita semua tahu apa yang dibuat untuk kemajuan ekonomi dan negara.
“Saya nak ingatkan Muhyiddin, tak guna maki orang, ini bukan masanya. Apa yang saya mahu adalah kamu dan Pas ceritakan apa yang kamu buat semasa jadi kerajaan dan apa yang parti kamu mahu buat selepas ini untuk rakyat,” katanya,
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi bagi PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos dengan undi awal pada 8 Ogos.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

