
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan untuk berdamai dengan Datuk Misbun Sidek dan memohon maaf kepada legenda badminton negara itu di atas kemelut yang tercetus sejak lima hari lalu.
Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, apa yang berlaku sebelum ini adalah kerana masalah komunikasi dan beliau membuat keputusan dengan menyediakan dua tawaran kepada Misbun.
Katanya, Misbun ditawarkan kembali menjadi jurulatih skuad perseorangan remaja sehingga kontraknya tamat hujung tahun ini dan memimpin skuad remaja negara ke Kejohanan Remaja Dunia di Amerika Syarikat dari 25 September hingga 8 Oktober 2023 .
“Sekiranya beliau menolak tawaran pertama, Misbun boleh bertemu dengan jawatankuasa khas untuk menyelesaikan perkara ini secara baik,” katanya dalam satu sidang media khas yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Kuala Lumpur hari ini.
Memetik laporan Harian Metro, Norza berkata, beliau tidak mahu ada pihak yang teraniaya atau dipinggirkan kerana beliau hanya mahu yang terbaik untuk persatuan.
“Ini adalah keputusan yang saya buat sendiri dan melangkaui keputusan ahli jawatankuasa tugas khas dan mungkin akan menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan ahli majlis.
“Saya rasakan bahawa mesti ada satu penyelesaian kepada semua kemelut ini.
“Bagi saya hubungan saya dengan Misbun ini sangat istimewa. Sampaikan banyak keputusan yang dia buat (Misbun) mendapat restu dari saya,” katanya.
Norza berkata, beliau memohon maaf bagi pihak BAM dia atas segala yang tercetus membabitkan kedua-dua belah pihak.
“Saya dimaklumkan sebelum ini oleh Datuk Subramaniam (Timbalan Presiden BAM) bahawa Misbun terima dan jika Misbun tak bersetuju saya akan jumpa dengan dia (Misbun) sebab kami ada hubungan istimewa.
“Saya tidak pernah tidak menghormatinya. Tapi ini masalah komunikasi. Kita satu keluarga yang besar dan kita tidak seharusnya berbalah dan menjadi musuh disebabkan perkara seperti ini,” katanya.
Isu perselisihan antara BAM dan Misbun bermula apabila kontrak Misbun yang sepatutnya tamat Disember ini ditamatkan lebih awal dengan BAM memaklumkan bahawa ia adalah persetujuan bersama.
Misbun kemudiannya tampil membuat kenyataan bahawa dia tidak bersetuju dengan kenyataan yang diberikan oleh BAM itu dan mendakwa perpisahannya dengan BAM bukanlah atas persetujuan bersama seperti yang diumumkan oleh badan induk itu sebelum ini.
Sebaliknya, bekas Pengarah Pembangunan Remaja negara berusia 63 tahun itu berkata, keputusan berhubung perkara berkenaan sudah dirancang tanpa sebarang perbincangan dengan dirinya atau dipanggil untuk membela diri.
Malah, Misbun berkata dia adalah mangsa atas kegagalan keseluruhan skuad remaja negara di Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, dua minggu lalu ketika beliau hanya bertanggungjawab ke atas pemain perseorangan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

