PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan bakal meninggalkan persatuan itu penghujung tahun ini.
Mohamad Norza yang mengisi kerusi Presiden BAM sejak tahun 2017 membuat keputusan melepaskan jawatan itu lebih awal daripada sepatutnya.
Sebelum ini, beliau yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memaklumkan akan meninggalkan badan induk badminton negara itu selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024.
Memetik laporan BH Online, Mohamad Norza memberitahu, beliau membuat keputusan berkenaan kerana sudah mempunyai beberapa nama yang berpotensi menggantikan tempatnya.
Beliau menjelaskan, keputusan itu juga tiada kena mengena dengan kemelut yang melanda BAM bersama bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM), Datuk Misbun Sidek yang ditamatkan kontrak lebih awal.
Baca artikel berkaitan: “Saya diberhentikan” – Meninggalkan BAM bukan persetujuan bersama, kata Misbun
“Saya juga mahu buat pengumuman hari ini bahawa saya akan meletakkan jawatan pada penghujung tahun ini. Sebelum ini saya mengumumkan akan mengundurkan diri selepas Sukan Olimpik Paris 2024.
“Bagaimanapun, saya sudah ada beberapa nama yang berpotensi (ambil alih jawatan) dan nama-nama berkenaan sudah diserahkan kepada ahli majlis. Kenapa perlu tunggu jika sudah ada calon berpotensi,” katanya.
Mohamad Norza mula memegang jawatan Presiden BAM menggantikan tempat Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff, enam tahun lalu.
Beliau berjaya meletakkan BAM sebagai antara persatuan sukan kebangsaan berpengaruh selain mempunyai tahap kewangan kukuh.
Mohamad Norza sebelum ini mengumumkan akan melepaskan jawatan Presiden BAM sebaik tamat Sukan Olimpik 2024 bagi memberi tumpuan terhadap tugas selaku Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Lembaga Majlis Olimpik Asia (OCA).
Beliau juga pernah menyuarakan hasrat mengundurkan diri daripada jawatan Presiden MOM selepas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

