POLIS kini menyiasat kejadian tular memaparkan sekumpulan individu mengamuk di hadapan sebuah restoran Taman Sri Mutiara, Bukit Tengah Pulau Pinang, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tang Cheng San berkata, dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, pengadu seorang wanita berusia 30-an telah didatangi seorang lelaki tempatan.
Beliau berkata, lelaki berusia 20-an bersama beberapa individu lain telah membuat rakaman melalui telefon bimbit dan memaksa pengadu mengaku telah berhutang sejumlah wang dengannya.
“Berlaku pertengkaran mulut dan tolak menolak antara satu sama lain akibat tindakan itu.
“Kedua-dua pihak telah tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

