Polis tumpaskan sindiket penipuan pelaburan, 101 individu dicekup

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

TAKTIK licik sindiket penipuan pelaburan yang bersembunyi di sebuah premis di USJ 1, Subang Jaya selama setahun berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 101 ahli sindiket itu berjaya ditahan polis dalam serbuan yang dilakukan pada 7 Ogos lalu.

Jelas beliau, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya mengesyaki sindiket berkenaan menjalankan kegiatan penipuan pelaburan atas talian menggunakan nama GCM Asia.

Sebahagian daripada telefon pejabat yang dirampas selepas polis berjaya menahan 101 individu yang terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan atas talian menggunakan nama GCM Asia ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Hasil serbuan tersebut, seramai 65 lelaki dan 36 wanita warga tempatan berusia dalam lingkungan 19 hingga 41 tahun ditangkap.

“Tangkapan terdiri daripada pengurus, pengurus operasi, juruteknik bahagian IT dan pekerja khidmat pelanggan pusat panggilan tersebut.

“Polis turut membuat rampasan sebanyak 94 komputer, 47 telefon pejabat, 96 telefin bimbit, sebuah modem dan sebuah router,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca juga: Polis buru suspek kes samun di butik kecantikan

Mengulas lanjut, Hussein berkata, hasil siasatan mendapati sindiket tersebut menggunakan media sosial dan rangkaian internet dalam mempromosikan pelaburan mereka.

Katanya, operator di bahagian pemasaran akan membuat panggilan kepada orang ramai melalui nombor telefon yang dibekalkan oleh ketua sindiket.

Menurut Hussein, pelabur akan diberikan link untuk melayari lama web GCM Asia dan membuat pendaftaran sebelum membuat pembayaran mengikut jumlah yang ditetapkan.

“Pelaburan tersebut menawarkan pakej pelaburan dalam bidang forex, emas, minyak, saham dan lain-lain dengan jumlah minimum USD 100,” katanya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada komputer, telefon pejabat, telefon bimbit, modem dan router yang dirampas selepas berjaya menahan 101 suspek yang terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan atas talian menggunakan nama GCM Asia ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Sementara itu, Hussein memaklumkan, pemeriksaan awal terhadap barang kes yang dirampas mendapai aplikasi pelaburan GCM Asia dan nombor akaun bank yang diguna pakai terlibat dengan beberapa laporan polis yang telah dibuat mangsa di Selangor dan negeri-negeri lain.

Menurut Hussein, sasaran sindiket tersebut adalah warganegara Malaysia dan anggaran kerugian mangsa setakat ini mencecah RM2 juta.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dalam mencari pekerjaan dalam media sosial yang menawarkan gaji lumayan.

“Selidik dahulu latar belakang syarikat tersebut sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan.

“Pihak polis juga memberi amaran kepada mana-mana individu agar tidak bekerja dengan sebarang sindiket penipuan seperti ini,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Landskap politik berubah jika Onn Hafiz bawa BN menang PRN Johor – Hassan Karim

LANDSKAP politik negara disifatkan bakal berubah sekiranya Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya membawa Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya...

More Articles Like This