PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua 9.67 juta pemilih di enam negeri untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok bagi menjamin kemajuan untuk negara.
Dalam rakaman video dimuatnaik ke Facebook, Perdana Menteri turut memohon supaya pengundi mengambil tanggungjawab sebagai suatu perkara serius demi keamanan dan perpaduan rakyat seluruhnya.
Pada masa sama, beliau turut percaya pengundi termasuk anak muda yang baharu diberikan hak untuk memilih dapat menjalankan tanggungjawab dengan bijak.
“Jaga keamanan dan kestabilan negara serta pilih parti dan kerajaan yang boleh memulihkan ekonomi, memberi jaminan pekerjaan dan yang lebih utama memberi keselesaan hidup kepada diri, keluarga dan negara Malaysia tercinta.
“Ambil tanggungjawab ini sebagai sesuatu yang serius bagi menjamin suatu kemajuan untuk negara dan keamanan serta perpaduan rakyat seluruhnya,” katanya dalam video tersebut.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berdoa supaya perjalanan PRN enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu berjalan dengan lancar.
“Esok 12 Ogos, insya-Allah rakan-rakan, saudara dan saudari dari enam negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Kuala Terengganu akan menunaikan tanggungjawab mereka.
Baca artikel berkaitan: Malaysia jadi negara hebat Asia jika Kerajaan Perpaduan tadbir lima tahun – PM
“Pastikan memilih wakil-wakil, calon yang didukung untuk dapat menerajui kerajaan negeri dan sebagai anggota Parlimen di Kuala Terengganu.
“Saya doakan ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan ia dapat berjalan lancar dan baik serta tenang menjalankan dan menyempurnakan tanggungjawab,” katanya.
Masa depan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu terletak di tangan 9.67 juta pemilih apabila mereka akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil di DUN masing-masing, esok.
Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia enam negeri itu mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan daripada pilihan raya umum selepas memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing semasa pembubaran Parlimen pada 10 Okt tahun lepas.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk memilih Ahli Parlimen baharu diadakan serentak hanya dengan pilihan raya negeri Perak, Pahang dan Perlis pada 19 Nov 2022.
Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak pula telah mengadakan pilihan raya negeri masing-masing sebelum PRU15.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

