PEMERGIAN Allahyarham Siti Sarah masih lagi menjadi bualan ramai biarpun sudah genap dua tahun penyanyi itu meninggal dunia.
Bukan hanya orang luar malah rakan-rakan artis turut masih lagi bercerita mengenai kebaikan arwah yang amat dikenali sebagai individu yang berhati mulia.
Malah ramai artis yang turut menyanyikan semula lagu-lagu hits arwah sebagai tribut termasuklah peserta Big Stage 2023 iaitu Aufahanie.
Menerusi perkongsian muzik video di Youtube Indigital Music, Aufahanie menyanyikan semula lagu Saat Hilang Cintamu dengan versinya sendiri.
Lebih istimewa lagi, nyanyian Aufahanie itu turut diiringi oleh pencipta asal lagu tersebut iaitu Ajai.
Ajai yang juga komposer dan penyanyi itu mempersembahkan iringan muzik keyboard sebagai penyedap kepada lagu yang dinyanyikan Aufahanie.
Tentu sekali Ajai mempunyai alasan tersendiri mengapa dia berbesar hati untuk berduet bersama Aufahanie untuk lagu ciptaan yang dikeluarkan pada 2003 tersebut.
Kemampuan dan keampuhan suara Aufahanie yang menduduki tempat kelima di Big Stage 2023 tidak mengecewakan Ajai dan peminatnya.
Menerusi komen di Youtube, rata-rata peminat memuji kelunakan suara Aufahanie dan ada yang membuat persamaan suaranya dengan arwah Siti Sarah.
Malah, difahamkan, Aufahanie turut ‘dilamar’ Ajai untuk membawakan lagu ciptaannya tidak lama lagi.
Nak tahu lagu yang bakal penyanyi berusia 20 tahun itu bawakan? Sama-sama kita nantikan!

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

