Ajai sedia kongsi pentas dengan Nourul Depp, hanya tunggu masa yang tepat

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

KOMPOSER dan penyanyi, Ajai secara terbuka menyatakan kesediaannya untuk kembali berkongsi pentas dengan bekas isterinya, Nourul Wahab, sekiranya diberikan ruang, waktu, dan tawaran yang bersesuaian pada masa hadapan.

Hasrat tersebut dizahirkannya susulan gelombang keterujaan para peminat tegar yang merindui nostalgia zaman kegemilangan mereka sebagai pasangan duet paling serasi suatu ketika dahulu. 

Keinginan peminat itu kembali bertiup kencang selepas melihat impak positif daripada penganjuran konsert solo penyanyi wanita berkenaan baru-baru ini.

Ajai, atau lengkapnya Mohamad Faizal Maas, 51,mengakui tumpang gembira dan bangga atas kejayaan luar biasa konsert For You Nourul yang telah berlangsung dengan jayanya pada 30 Mei lalu.

Menurutnya, sambutan hangat yang diterima menjadi bukti kukuh bahawa portfolio seni bekas rakan duetnya itu masih mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam industri muzik tanah air.

“Secara jujurnya, saya berasa amat gembira dengan maklum balas positif dan kejayaan yang diraih menerusi konsertnya baru-baru ini. 

“Jika diteliti daripada segi katalog muzik, Nourul sebenarnya tidak perlu bersandar kepada lagu-lagu duet semata-mata kerana dia mempunyai untaian hits solo yang sangat kuat dan kekal relevan merentasi zaman,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Aisha Retno, Diari Air Mata di Kenangan Coffee, TRX, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kekuatan repertoire penyanyi tersebut, Ajai yang juga merupakan maestro muzik terkenal menyifatkan untaian karya solo seperti Kerana Terluka, Cinta Azali dan Ikhlasnya Cintaku sebagai karya agung yang masih segar dalam ingatan peminat dan terus menjadi siulan sehingga ke hari ini.

Tambah Ajai lagi, sekiranya seleksi karya solo yang malar segar itu digabungkan pula dengan koleksi album duet fenomena yang pernah mereka hasilkan bersama, konsert tersebut sememangnya menjadi sebuah naskhah persembahan yang sangat kaya dengan variasi melodi bernilai tinggi.

Ketika ditanya mengenai impian peminat yang amat mendambakan penyatuan semula dua vokal ikonik itu di atas satu pentas besar, Ajai tidak menolak kemungkinan tersebut malah memberikan tanda tiada sebarang halangan daripada pihaknya.

“Insya-Allah, andai sudah tertulis rezeki dan laluannya, saya tidak mempunyai sebarang kekangan atau masalah untuk kami kembali disatukan dalam satu acara persembahan. 

“Bagaimanapun, perkara ini memerlukan perancangan yang teliti serta garis masa yang benar-benar tepat. 

“Hubungan profesional kami dahulu sebagai rakan duet telah meninggalkan legasi lagu-lagu yang kekal terpahat dalam hati peminat tegar sehingga ke saat ini,” ujarnya.

Ajai ditemui media ketika hadir memberikan sokongan pada majlis pelancaran rasmi single terbaharu nyanyian Aisha Retno yang berjudul Diari Air Mata

Walau bagaimanapun, menjelaskan punca ketidakhadirannya ke konsert For You Nourul hujung bulan lalu, Ajai memohon maaf dan menyatakan dia kini sedang komited sepenuhnya terhadap jadual latihan yang padat demi persiapan Konsert Exists yang dijadualkan menggegarkan Unifi Arena, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

Naskhah Sarat Emosi Buat Aisha Retno

Dalam perkembangan lain, penglibatan Ajai dalam lagu Diari Air Mata terbitan Usanita Entertainment menyaksikan dia memegang portfolio utama selaku komposer sekaligus penulis lirik bagi karya melankolik berkenaan.

Mengulas mengenai pemilihan artis, Ajai mendedahkan bahawa Aisha merupakan pilihan pertama dan utama pihak Usanita untuk menterjemahkan emosi berat yang terkandung dalam lagu tersebut. 

Karya sarat air mata ini difahamkan bakal diangkat sebagai lagu runut bunyi rasmi (OST) bagi sebuah drama rantaian premium terbaharu terbitan UTV yang akan diumumkan perinciannya tidak lama lagi.

Sekadar info, Ajai dan Nourul pernah bergelar suami isteri pada 1996 sebelum bercerai 10 tahun kemudian dan dikurniakan seorang anak, Ayu Nazirah, 28.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Letusan gelombang VIP! 9 tahun menyepi, Bigbang sah kembali ke Kuala Lumpur sempena jelajah ulang tahun ke-20

PENANTIAN hampir sedekad peminat setia kumpulan K-Pop, Bigbang, akhirnya terjawab. Selepas sembilan tahun tidak mengadakan sebarang konsert berskala besar,...

More Articles Like This