Selebriti dan pengasas kosmetik, Zoey Rahman akui terkesan dengan kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya di media sosial. Malah ada yang membuat perbandingan wajahnya dahulu dan terkini.
Ulas Zoey kepada Wanita, secara jujur dia sedih dan terasa hati, namun tiada apa yang mampu dilakukan bagi membalas kembali hinaan yang diterima selain senyum dan termenung.
“Dalam hidup, kita tak boleh beranggapan semua akan suka kita. Ada yang bercerita dan cakap belakang dan ada juga yang sokong. Sentiasa tanam itu dalam fikiran.
“Jika dahulu, sebelum ada media sosial, masyarakat tak ada akses untuk berikan pendapat. Mereka hanya lihat dan baca di majalah dan surat khabar, dan ia habis sekadar itu sahaja.
“Namun sekarang, apa sahaja yang dikongsikan di media sosial, ada sahaja yang tidak kena. Mereka seboleh-bolehnya akan cari salah untuk jatuhkan kita.
“Sebab itu ramai selebriti bukan sahaja di Malaysia, namun satu dunia alami depresi, sampai ada yang membunuh diri. Mental health terganggu.
“Sebagai netizen, jadilah pengguna media sosial yang bijak. Janganlah menulis komen yang mengguris hati, jika artis itu tak maafkan bagaimana?
“Kadangkala bila saya buat story di media sosial, beribu orang komen. Jujurnya memang saya terasa, ada kalanya saya senyum sahaja. Namun saya manusia biasa, ada hati dan jiwa. Orang kutuk saya dan ibu, siapa tak terasa? Itu hak mereka, saya tak mampu nak serang. Selalunya saya termenung bila fikir balik komen yang ditulis,” luahnya.
Akui tidak mempunyai kekuatan untuk mengambil tindakan undang-undang, jelasnya pelakon berusia 38 tahun ini, dia menyerahkan segalanya kepada Allah. Namun menyatakan sokongan kepada Shuib mengambil tindakan tegas kepada individu yang menyebarkan fitnah.
“Kadang kala bila baca apa yang netizen komen mengenai artis yang buka tudung, kita ni dah cukup sempurna ke? Amal ibadat kita dah cukup sehingga mempersoalkan mengenai hidup orang lain?
“Bagi saya, kita hanya boleh beri nasihat yang positif. Ini sampai cakap ‘kau ni tak takut api neraka ke? Cermin diri kita dahulu sebelum jatuh hukum dekat orang lain.
“Bagi saya apa yang Shuib buat sangat tepat kerana ia dapat mengajar netizen di luar supaya berfikir dulu sebelum menulis komen. Kepada netizen yang suka menabur fitnah, mungkin kamu boleh bergembira di dunia, namun di akhirat nanti kau tanggunglah. Kadang kala memang kita kena ajar mereka yang suka buat fitnah, bila kena saman baru mereka berfikir dua kali sebelum menulis,” katanya lagi.

