LANGKAH ‘pemutihan’ ahli UMNO hanya akan membuatkan lebih ramai penyokong dan rakyat membenci parti keramat Melayu itu pada masa akan datang.
Itu pandangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil terhadap ura-ura yang mengatakan akan ada pemutihan sekali lagi dalam UMNO selepas keputusan pilihan raya negeri (PRN) tidak menyebelahi parti tersebut.
Menurut Isham, tindakan membuang lebih ramai ahli UMNO yang tidak bersependapat dengan pimpinan tertinggi hanya akan merugikan parti selain menyebabkan peralihan sokongan kepada parti lawan.
“Jika kita putihkan (buang) mereka, tinggal berapa kerat sahaja ahli dan penyokong kita di akar umbi. Mereka akan lebih marah dan benci kepada UMNO dan akan jadi penyokong tegar parti lawan. Ini yang parti lawan kita mahu.
“Sebaliknya kita perlu cari dan akui sebab dan punca mengapa penyokong-penyokong tegar kita yang selama ini menyokong UMNO kini protes dan menyokong parti lawan. Punca dan sebab ini perlu ditangani segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga: Ringgit lemah masalah serius, libat harga makanan harian rakyat – Isham Jalil
Mengulas lanjut, Isham berkata, situasi UMNO ketika ini dilihat membimbangkang memandangkan penyokong-penyokong tegar mereka sudah hilang kepercayaan terhadap parti itu.
Katanya, UMNO perlu memberi keyakinan terhadap semua penyokong mereka dengan kebenaran dan keikhlasan, bukannya retorik serta spin politik.
“Daripada ‘memutihkan’ atau membuang mereka, sebaliknya kita perlu meyakinkan mereka semula berkenaan halatuju dan perjuangan kita. Saya lihat mereka mahu lihat perubahan yang drastik bukan hanya retorik.
“Jika kita kekal dalam sindrom penafian, kita tidak akan berubah. Jika kita tidak berubah di saat getir ini, kita akan tamat sebab kita tidak sedar diri walaupun kita sudahpun rebah.
“Jika kita tidak berubah, lawan kita akan bertepuk tangan sehingga ke Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), ini yang mereka mahu, iaitu UMNO hancur di tangan sendiri.
“Untuk bangun kita perlu ikhlas dan jujur dengan diri sendiri dan merubah keadaan. Dan kita perlu ada keberanian untuk membawa perubahan ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

