WABAK Covid-19 yang ‘menyerang’ dunia sejak setahun lalu telah membataskan sebarang aktiviti seni termasuklah kumpulan yang mahu dikenali sebagai Life Petal (LP).
Justeru, LP yang dianggotai oleh tujuh ahli itu perlu memikirkan jalan kreatif agar kumpulan mereka tidak terus ‘senyap’ daripada pengetahuan peminat.
Dianggotai oleh Luqman selaku pemain bass, Zax Ramli (vokalis utama), Farah (vokalis kedua), Yusuf (gitar pertama), Iskandar Jeff (gitar kedua), Lee (dram) dan Hadi (bass).
Kumpulan berasal dari Singapura itu akhirnya sepakat untuk merencana sebuah konsert secara maya bagi mengubati kerinduan peminat yang ternanti-nanti persembahan mereka.

“Insya-Allah, jika tiada halangan kami akan menganjurkan sebuah ‘gig’ pada 19 September depan, pukul 4 petang.
“Peminat boleh menonton persembahan kami menerusi Facebook Bradell Constituency dan juga My Muzik Sendiri (Malaysia).
“Lokasi persembahan itu nanti di sebuah studio di Singapura iaitu Tonehouse. Keluasan studio itu sangat bersesuaian untuk kami yang merangkumi tujuh ahli sepanjang persembahan,” kata Luqman atau Man yang bertindak sebagai ketua kumpulan.
Menurut Man, konsert yang berlangsung selama kira-kira satu jam 15 minit itu akan menampilkan 10 buah lagu sesuai syarat yang ditetapkan oleh penganjur konsert terbabit iaitu Balai Rakyat Singapura (Bradell Heights CC/MAEC) dan My Muzik Sendiri (Malaysia).
“Kami akan persembahkan 10 buah lagu termasuklah lagu baharu berjudul Warkah.
“Kami juga akan menyanyikan lagu daripada penyanyi lain, antaranya Sweet Charuty, IamNeeta dan Ara Johari.
“Tiada bayaran dikenakan kepada peminat yang mahu menonton persembahan kami itu nanti. Kami akan kongsikan poster berserta pengimbas kod QR untuk memudahkan peminat mengakses konsert itu nanti,” ujarnya.
Kali terakhir LP membuat persembahan secara maya ialah pada September tahun lalu di One Music Fest.
“Selepas persembahan itu kami senyap sebab pandemik Covid-19 masih belum pulih.
“Kalau ikutkan rancangan asal, kami dalam pembikinan untuk menyiapkan single terbaharu berjudul Warkah.
“Hendak dijadikan cerita, rakan saya yang dikenali Cikgu Hirman mahu menganjurkan satu konsert yang melibatkan LP memandangkan dia tahu saya ada band.
“Kami mula berbincang untuk buat konsert dan akhirnya sepakat untuk buat secara maya memandangkan kalau nak buat persembahan yang ada penonton secara ‘live’ ia terhad kepada 50 orang saja di Singapura,” jelasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

