AGC tidak punyai sebab teliti semula kes pendakwaan – Peguam Negara

Dari Penulis

JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini menegaskan jabatan itu tidak mempunyai sebab atau alasan yang munasabah untuk meneliti semula semua kes yang telah didakwa di mahkamah. 

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, setiap keputusan untuk pendakwaan dibuat setelah meneliti dan menimbangkan dengan sepenuhnya semua keterangan yang ada dan dibentangkan oleh agensi-agensi penguat kuasa serta menurut undang-undang berkaitan.

“Tidak terdapat sebarang campur tangan politik atau tekanan untuk memulakan apa-apa pendakwaan. Jabatan Peguam Negara sentiasa bertindak secara bebas dan profesional, mengikut tatacara yang telah ditetapkan dalam memulakan pertuduhan terhadap mana-mana individu,” katanya dalam kenyataan.

Idrus berkata, demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendesak Peguam Negara supaya menyemak dan mengkaji semula semua pendakwaan terpilih terhadap pimpinan Bersatu dan PN untuk tujuan ditarik balik.

Desakan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

Baca juga: Peguam Negara perlu semak, kaji semula pendakwaan terpilih – Hamzah Zainudin

Mengulas lanjut, Idrus berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Pengerusi PN itu hanya melibatkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat hanya berdasarkan ruang lingkup permohonan yang telah difailkan oleh pemohon.

“Notis rayuan telah difailkan oleh pihak pendakwaan untuk mencabar keesahan keputusan itu manakala tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 masih kekal,” katanya.

Justeru, Idrus berkata, pihaknya memandang serius kenyataan yang berkecenderungan menjejaskan kredibiliti AGC dan menggesa semua pihak supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan yang mencadang atau membayangkan bahawa integriti dan kebebasan jabatan itu telah dikompromi oleh campur tangan politik atau pengaruh yang tidak wajar. 

“Jabatan Peguam Negara selanjutnya menegaskan bahawa jabatan ini bertindak secara bebas dan profesional pada setiap masa dalam menjalankan fungsi Jabatan Peguam Negara untuk menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Landskap politik berubah jika Onn Hafiz bawa BN menang PRN Johor – Hassan Karim

LANDSKAP politik negara disifatkan bakal berubah sekiranya Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya membawa Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya...

More Articles Like This