Mayat dalam guni: Lelaki berpangkat Datuk bersama 2 anak dituduh bunuh kerani

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

SEORANG lelaki berpangkat Datuk bersama dua anaknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menyebabkan kematian kerani syarikat sendiri.

Ketiga-tiga tertuduh, Datuk V. Nanta Kumar, 51, yang merupakan majikan di kedai barangan lusuh dan Miren Ram, 24, serta Krithik Ram, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa telah menyebabkan kematian mangsa, Vinagayamoorthy Ambagalan yang merupakan warga India berusia 41 tahun.

Kesalahan yang didakwa dilakukan dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian itu berlaku di tapak besi buruk Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini sekitar jam 1.30 tengah hari, 4 Ogos lalu.

Tiga beranak itu didakwa telah melakukan kesalahan membunuh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian atau hendak menyebabkan suatu bencana tubuh badan yang mungkin boleh menyebabkan kematian, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak mencadangkan sebarang jaminan dikenakan ke atas tertuduh memandangkan kes di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Datuk Suraj Singh memohon agar ketiga-tiga tertuduh dibenarkan jaminan dengan budi bicara mahkamah memandangkan anak guamnya selepas kejadian membuat laporan polis dan sempat menghantar mangsa yang tercedera ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

“Sekiranya mereka (tertuduh) ingin melarikan diri, mereka tidak akan bergegas untuk membuat laporan polis.

“Nanta Kumar menghidap penyakit kencing manis dan penyakit tulang belakang manakala Miren Ram menghidap penyakit asma sementara Krithik Ram terlibat dalam kemalangan baru-baru ini dan memerlukan rawatan.

“Oleh itu kami memohon agar kesemua tertuduh dibenarkan jaminan,” kata peguam itu.

Peguam itu turut menambah bahawa pihaknya tidak akan membantah sekiranya syarat tambahan seperti menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Baca: Mayat lelaki dalam karung guni putih ditemukan dekat tapak besi buruk

Turut mewakili tertuduh ialah peguam Kailash Sharma selain proses pertuduhan itu turut dihadiri peguam pemerhati, CR. Selva daripada Pesuruhjaya Tinggi India.

Mendengar hujahan itu , Ahmad Zuhaini kekal untuk membantah permohonan Suraj untuk
membenarkan jaminan ke atas kesemua tertuduh.

Hakim Faiz kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap seorang tertuduh dengan syarat pasport mereka diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 September depan bagi sebutan kes dan serahan dokumen.

Sebelum ini pada 4 Ogos lalu, UtusanTV melaporkan mayat seorang lelaki ditemukan disumbat di dalam guni dalam keadaan terbaring di tempat kejadian.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan pukulan pada seluruh tubuh badan mangsa yang menyebabkan punca kematian.

Susulan itu, polis menahan 13 individu termasuk tiga wanita di sekitar Lembah Klang pada 5 Ogos lalu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Anwar mohon maaf tak dapat hadir majlis penghormatan terakhir Ayatollah Ali Khamenei

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian Allahyarham...

More Articles Like This