“UMNO ini perlu dipulihkan, bukan terus dengan tuduh menuduh tanpa asas.”
Demikian kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh selepas gambarnya bersama bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tular di media sosial sejak semalam.
Penularan gambar tersebut membuatkan ada pihak mengatakan Dr Muhamad Akmal ‘berkomplot’ dengan Hishammuddin yang telah pun digantung selama enam tahun daripada UMNO.
Tampil menjelaskan perkara itu, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menegaskan, gambar yang diambil bersama Hishammuddin itu adalah pada 25 September 2019.
Kata beliau, UMNO ketika itu masih lagi pembangkang manakala beliau hanyalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin.
“Game (Permainan) label melabel sudah bermula.
“Tular sejak semalam gambar saya bersama dengan Hishammuddin dikeluarkan dan ada yang mengatakan bahawa saya berkomplot dengan beliau dan ada juga menyatakan bahawa saya dicop sebagai ‘budak Hisham’ dan sebagainya.
Baca artikel berkaitan: Tindakan keluar parti tidak rencat semangat perjuangan ahli UMNO – Akmal Saleh
“Suka saya ingin menjelaskan, gambar yang ditularkan ini adalah di perjumpaan saya dengan beliau pada 25 September 2019.
“Ketika itu beliau juga masih lagi ahli UMNO,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal juga menegaskan budaya melabelkan individu lain supaya dihentikan.
“Cukup-cukuplah kita nak melabel sana sini.
“Tugas kita untuk kembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO, bukan menjauhkan rakyat dari UMNO,” katanya.
Malam tadi, Pemuda UMNO menganjurkan sesi ‘post mortem’ secara tertutup tanpa liputan media, dengan satu resolusi dijangka dikemukakan sayap itu kepada pucuk pimpinan parti dalam masa terdekat, susulan prestasi hambar direkodkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.
Dalam ucapannya sebelum sesi berkenaan, Muhamad Akmal mengakui ramai pihak panas hati apabila Pemuda UMNO mahu mengadakan majlis terbabit, namun ia tidak wajar menjadi satu bentuk ketakutan atau berasa terancam oleh sayap parti itu.
Terdahulu, beliau sebelum ini menegaskan, keputusan PRN lalu, jelas membuktikan UMNO perlu berani untuk berubah dengan mengutamakan suara rakyat, bukannya suara pemimpin, jika tidak mahu parti itu terus dilupakan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

