TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz digesa supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri selepas mengumumkan keluar dari UMNO, hari ini.
Gesaan itu dinyatakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dalam hantaran di Facebook.
Menurut Dr Muhamad Akmal, tindakan Tengku Zafrul meletakkan jawatan itu merupakan berita yang menggembirakan orang UMNO.
Pada masa sama, beliau secara sinis turut ‘mengalu-alukan’ PKR menerima kemasukan Tengku Zafrul ke dalam parti itu sebagai bukti ‘kesetiaan’ persahabatan dengan UMNO.
“Sepatutnya letak jawatan menteri sekali.
“Dan kepada PKR, moga boleh menerima permohonan masuk Tengku Zafrul ke dalam PKR dan seterusnya boleh menjadi bukti betapa ‘setianya’ persahabatan antara UMNO dan PKR.
Baca artikel lain: UMNO belum terima surat peletakan jawatan Tengku Zafrul, kata Asyraf Wajdi
“Orang UMNO terlalu gembira dengan berita ini. Datang tidak diundang, pergi pun tidak dikesali. UMNO parti kita semua,” katanya dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, Tengku Zafrul dalam hantaran di Facebook mengumumkan peletakan semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.
Beliau memaklumkan surat peletakan jawatan itu telah pun dihantar kepada pucuk pimpinan UMNO, hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, peletakan jawatan itu melibatkan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
Beliau berkata, hasrat untuk menyertai PKR sudah pun dinyatakan kepada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

