INSIDEN Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson, Jumaat lalu disifatkan bukanlah isu politik sebaliknya soal patriotisme kepada negara.
Malah, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, pemimpin yang mengeluarkan kenyataan bahawa isu tersebut tidak dipolitikkan sebenarnya telah mempolitikkan perkara berkenaan.
Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menegaskan, tindakan berat tetap perlu dikenakan ke atas pihak sekolah tersebut sekiranya benar individu yang memasang Jalur Gemilang terbalik itu merupakan orang kurang upaya (OKU).
Beliau berkata, ini kerana pihak sekolah telah membenarkan seorang pekerja OKU memasang bendera tanpa pengawasan dan memberi tanggungjawab itu kepada OKU berkenaan.
Selain itu, katanya, pihak sekolah juga perlu dikenakan tindakan kerana tidak langsung mengambil cakna selepas Jalur Gemilang itu dipasang dan dibiarkan begitu sahaja.
“Kita tidak mahu alasan OKU menjadi alasan utama lagi jika perkara ini berulang kembali!.
Baca artikel lain: Sudah tiba masa laksana ‘Akta Jalur Gemilang’ lebih tegas
“Saya harap Kementerian Pendidikan juga mengambil perkara ini dengan serius agar ia menjadi pengajaran buat semua.
“Saya juga mendesak Kementerian Pendidikan untuk siasat siapakah OKU tersebut? Adakah OKU fizikal atau mental? Jika individu itu adalah OKU mental, adakah dia dibenarkan bekerja dalam premis sekolah?,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah SJKC di Port Dickson memasang Jalur Gemilang terbalik, Jumaat lalu.
Lebih menyedihkan, insiden itu berlaku dalam bulan Ogos yang sepatutnya menjadi bulan menyemai rasa cintakan negara.
Susulan itu, polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden berkenaan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Penggunaan Tidak Wajar) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

