IBU kepada penyanyi Shila Amzah iatu Fauziah Sarman terus mendedahkan punca berlakunya konflik rumah tangganya dengan bekas suami, Datuk ND Lala sehingga berlakunya perceraian.
Terbaharu, Fauziah,55, mendakwa ND Lala sudah berkahwin dengan seorang wanita yang juga rakan sekolah Shila sejak 2019.
Ujarnya, dia dimaklumkan oleh Shila mengenai berita tersebut namun masih cuba untuk menafikan apa yang disampaikan oleh sulungnya itu.
“Pada 2019 anak sulung (shila) memberitahu ada orang sampaikan kepada dia yang abahnya (ND Lala) sudah bernikah dengan perempuan ini. Tetapi saya dalam hati masih menafikannya.
“Beberapa hari selepas dapat tahu, saya bertemu sendiri dengan perempuan ini yang bekerja dengan abah anak-anak saya dan bertanya sendiri. Jawapannya, dia tidak akan melakukannya kerana dia menganggap kami suami dan isteri sebagai ‘orang tuanya’.
“Hakikatnya ketika itu mereka telah pun berkahwin. Saya juga dapat info daripada ahli keluarganya, perempuan ini sudah menghilangkan diri dari keluarga sejak 2016 lagi.
“Tidak mudah bagi saya apabila dapat tahu seorang perempuan seusia anak sulung saya, malah, lebih tepat menjadi teman baik anak saya dari tingkatan satu hingga tingkatan lima di sekolah sama, dikatakan sudah berkahwin, sampai ke pengetahuan saya.
“Saya pernah berada dalam fasa penafian kerana perempuan ini sudah saya anggap seperti anak sendiri, makan, minum dan tidur di rumah keluarga kami. Apa sahaja acara kecil atau besar yang kami adakan di mana-mana, dia pasti ada,” tulis Fauziah di Instagram.

Tambah Fauziah lagi, sepanjang tempoh tersebut, ikatan perkahwinannya dengan ND Lala mula bergolak sehingga bekas suaminya itu tidak pulang ke rumah berminggu-minggu selain sukar dihubungi.
Malah, lebih mengecewakan Fauziah ketika rumah mereka dilanda musibah banjir pada Disember 2021, ND Lala langsung tidak mengambil tahu keadaan keluarga.
“Abah anak-anak saya menghilangkan diri selama hampir setahun sejak 28 Januari 2022 . Telefon dan mesej tak jawab, tetapi, tiba-tiba muncul pada semi final dan final apabila puteri sulung kami bertanding dalam Gegar Vaganza (GV) tahun berkenaan.
“Saya sangka keadaan akan jadi normal tetapi berkat doa, kebenaran yang selama ini cuba dia sembunyikan, akhirnya terkeluar satu demi satu,” luahnya lagi.
Dalam pada itu, Fauziah juga mendakwa, wanita itu pernah membuat laporan polis terhadap anak lelakinya atas tuduhan mencuri kereta miliknya.
“Pada awalnya, anak saya sangka kereta itu milik abahnya tetapi dari sinilah kami sangat yakin cerita perkahwinan mereka ini sangatlah benar.
“Yang paling melumatkan jiwa, anak lelaki saya dituduh melarikan kereta atas nama perempuan ini. Kereta ini ada di rumah saya dari bulan Disember dan ketika itu abah anak-anak saya ada tinggal dengan kami.
“Tiba-tiba anak saya dapat panggilan daripada polis pada bulan Februari dengan mengatakan perempuan itu buat laporan polis mengatakan anak saya mencuri kereta. Perempuan ini mengarahkan abah anak-anak saya supaya anak saya sendiri kena pulangkan kereta itu kpeada perempuan ini sendiri.
“Abah anak-anak saya hanya ikut arahan perempuan ini. Yang paling menyedihkan, anak saya dipaksa mengaku kesilapan dan kena minta maaf secara bertulis dan perlu menandatangani surat di depan bapa kandungnya sendiri.
“Abah anak-anak saya turut menyuruh anak saya ikut apa saja perempuan ini suruh dan sambil abah anak-anak saya disuruh merakam guna telefon bimbit perempuan ini dengan arahannya tanpa rasa bersalah,” jelasnya.
Dedah Fauziah, luahan yang dilakukan itu sekadar berkongsi perasaan ketika berada dalam fasa gelap selepas diuji dengan kegagalan rumah tangga yang dibina sejak 34 tahun lalu.
“Coretan ini saya kongsi supaya wanita di luar sana lebih waspada dengan sesiapa yang mungkin kita anggap sebagai kakak, adik, anak atau sahabat.
“Janganlah memberi ruang yang terlalu luas hingga mata kita menjadi kabur melihat drama yang akan diciptakan manusia seperti ini.
“Menjadi baik dan bersangka positif itu jelaslah perlu dalam had yang sangat kita jaga kerana tak semua manusia akan memikirkan lumat jiwa manusia lain.
“Malah, mereka tidak akan kisah mengisar halus emosi kita untuk meraih kemenangan dalam drama sebabak ini,” katanya.
Fauziah dan ND Lala mendirikan rumah tangga pada 19 Oktober 1989. Selain Shila, 33, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata lain iaitu Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25.
Pada 9 Ogos lalu, Fauziah mendedahkan ND Lala sudah melafazkan cerai terhadapnya di Masjid Ar Rahman, Bangsar pada 2 Ogos lalu.

