“ANWAR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ialah Perdana Menteri tetapi menjadi Perdana Menteri tidak membuatkan beliau berhenti sebagai seorang Islam.”
Demikian kata Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mempertahankan langkah Anwar mengajar ucapan kalimah syahadah kepada seorang saudara baharu, Jumaat lalu.
Menurut Khairy, sesiapa sahaja individu beragama Islam boleh mengajar dan mengislamkan saudara baharu.
Malah, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau merujuk perkara itu kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
“Dalam hal ini saya nak mempertahankan Anwar kerana mana-mana orang Islam boleh mendengar dan membantu saudara baharu itu untuk mengucap dua kalimah syahadah.
“Saya rujuk pada Ustaz Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
“Saya tanya bolehkah mana-mana Muslim Islamkan orang yang nak memeluk agama Islam… dia kata boleh.
“Malah jadi tanggungjawab kita orang Islam kalau orang tu nak masuk Islam tanpa paksaan…kita lafazkan dua kalimah syahadah bersama dengan dia (saudara baharu)…dia (Zulkifli) kata lepas tu daftarlah dengan jabatan agama negeri tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam episod baharu podcast Keluar Sekejap yang dihoskannya bersama bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Baca artikel berkaitan: Indonesia jiran penting Malaysia, perlu saling melengkapi – PM
Mengulas lanjut, Khairy berkata beliau membangkitkan perkara itu selepas terdapat beberapa pandangan di media sosial yang mengkritik tindakan dilakukan Anwar mengatakan beliau adalah seorang Perdana Menteri, bukannya imam atau kadi.
Pada masa sama, Khairy memaklumkan, ada juga kritikan di media sosial berpandangan bahawa langkah Anwar itu sebagai cubaan membina naratif untuk mendapatkan sokongan orang Melayu khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.
Namun begitu, bekas Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan, masyarakat boleh mengkritik Anwar tentang pelbagai isu lain tetapi tidak boleh menyentuh tentang agama Islam.
“Mungkin orang itu nampak Perdana Menteri ada di situ dan minta beliau untuk bantu.
“Kalau orang cakap dengan saya pun, saya akan bantu ucapkan dua kalimah syahadah bersama dia.
“Anda boleh kritik anwar tentang perkara lain, dasar, polisi dan sebagainya tetapi hal ini saya rasa jangan sentuh,” katanya.
Shahril yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO dilihat sependapat dengan Khairy berhubung perkara tersebut.
“Apa pun pandangan, Malaysia bukan sebuah negara sekular penuh.
“Kita ada (Islam) sebagai agama Persekutuan, Ketua Negara kita iaitu Yang di-Pertuan Agong juga merupakan ketua agama Islam,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

