PORTFOLIO setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor akan dimuktamadkan selepas perbincangan dan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini.
Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam sidang media hari ini.
Menurut Amirudin, senarai lengkap kedudukan portfolio Exco Selangor itu akan diumumkan selepas selesai mesyuarat pertama, esok.
Beliau berkata, portfolio bagi Exco di negeri itu akan diselaraskan semula sesuai dengan kementerian di peringkat Persekutuan.
“Esok kita akan laksanakan mesyuarat Exco kali pertama dan esok juga saya akan muktamadkan portfolio masing-masing.
“Sebentar nanti akan ada perbincangan dengan pimpinan utama, malam nanti pula bersama Perdana Menteri untuk muktamadkan senarai.
“Selepas mesyuarat pertama esok, saya akan maklumkan kepada mereka.
“Kita terpaksa selaraskan balik (portfolio) sesuai dengan portfolio di peringkat Persekutuan sebab ada kementerian-kementerian baharu contohnya kos sara hidup.
“Ini perkara yang kita cuba adaptasi sebab akhirnya tugasan kita perlu berurus tadbir dengan pihak Persekutuan,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Amirudin angkat sumpah MB Selangor bagi penggal kedua
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu, Amirudin memaklumkan perkara itu akan diumumkan selepas Hari Malaysia, bulan depan.
Katanya, pengumuman Speaker DUN baharu akan diadakan serentak dengan mesyuarat pertama Sidang DUN Selangor.
“Insya-Allah akan dimaklumkan selepas Hari Malaysia sebab Dewan (DUN) dijangka mengangkat sumpah dan pembukaan sidang selepas Hari Malaysia,” katanya.
Sebagai rekod, Speaker DUN Selangor pada penggal sebelum ini diisi oleh ADUN Sekinchan dari DAP, Ng Suee Lim.
Beliau bagaimanapun dilantik sebagai Exco dalam penggal yang baharu ini selepas berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu.
Sebelum ini, kepemimpinan DAP sebelum ini meletakkan syarat jawatan Speaker diberikan kepada parti itu sebagai pertukaran dengan menyerahkan DUN Dusun Tua kepada Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mencadangkan bekas ADUN Banting, Lau Weng San sebagai calon Speaker DUN Selangor.
Malah, Loke memaklumkan perkara tersebut juga telah dipersetujui Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

