Putrajaya: Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang berlangsung hari ini membawa solusi dari tiga surah iaitu surah al-Insan, surah al-Fatihah dan surah al-A’sr. Dengan tema Malaysia Berakhlak Mulia “Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar”.
Penganjuran Malaysia #QuranHour kali ini diadakan di lokasi perdana Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya selama satu jam yang turut disertai dengan pelbagai golongan masyarakat.

Antara jemputan yang hadir adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan YB. Adam Adli, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff, Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Muhammad Faiz Fadzil, Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Nor Azamir Alias, Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamudin Yaacub, Penyanyi yang juda Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman (Altimet) dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Sepertimana program yang dijayakan sebelum ini orang ramai yang tidak dapat hadir secara fizikal pada acara ini boleh mengikutinya yang disiarkan secara langsung di RTM sebagai penyiar rasmi rancangan dan turut disiarkan juga di TV9, Astro Oasis, TV hijrah, Facebook Sinar Harian dan Facebook QuranHour.
Tahun ini tiga surah utama telah dipilih untuk diperdengarkan dan ditadabbur iaitu surah al-Insan, al-Fatihah dan al-A’sr. Pemilihan surah al-Insan sebagai surah utama kerana isi kandungannya mengangkat 11 karekter abrar yang diharapakan dapat membina pemimpin abrar dalam jiwa anak muda pada hari ini.

Antara 11 karekter yang terdapat dalam surah ini adalah sifat amanah, takwa, infak, Ikhlas, berorientasikan akhirat, teguh, sabar, kawalan diri, taat, bina jiwa dan syukur.
Surah al-Fatihah iaitu surah pembuka dipilih dengan mesej membuka anak muda untuk menjadi pemuda dan pemimpin yang luar biasa buat negara. Manakala surah al-A’sr pula dapat membawa mesej penting iaitu pemuda perlu bergegas yang akhirnya dapat melonjakkan potensi mereka untuk menjadikan kehidupan suatu legasi sepanjang kehidupan mereka.
Dengan rangkuman 3 mesej penting dalam surah-surah tersebut dan mengangkat tema “Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar” dalam membentuk Malaysia Madani, negara sejahtera, harmoni dan progresif diharapkan dapat membentuk kerangka fikir dan karekter yang mulia dalam diri khususnya menjiwai kemerdekaan sebenar dalam kalangan rakyat khususnya pemuda yang akan memimpin negara Malaysia.

Ini merupakan tahun yang kesembilan diadakan program ini yang mana pada awalnya dimulakan oleh JAKIM pada 2015 dengan nama Malaysia Ngaji.
Pengasas Quran Hour Dato Hussamuddin Yaacub yang juga Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) berkata cetusan program QuranHour ini tidak lain bertujuan untuk mengqurankan bangsa dan ummah supaya dengan melalui proses ini, nilai yang ada dalam al-Quran dapat dipindahkan ke dalam karakter ummah.
Apatah lagi dalam keadaan suasana di Malaysia ketika ini yang sedang hangat suhunya terhadap perbalahan dan perpecahan maka dengan program yang diadakan setiap tahun ini diharapkan ummah terutama orang-orang muda dapat membebaskan diri mereka dari pemikiran yang negatif dengan berpandukan kepada pemikiran al-Quran.
______________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

