SERAMAI 60 orang kanak-kanak istimewa termasuk gelandangan berpeluang menikmati persembahan sarkas terkenal, Great British Circus di Bukit Jalil, malam tadi.
Kesemua mereka berusia 14 hingga 60 tahun itu terpukau dengan persembahan selama dua jam.

Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron berkata, mereka yang dibawa menonton persembahan itu merupakan golongan bersasar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Katanya, pihak YKN bersyukur apabila dihubungi oleh pihak Great British Circus yang ingin menaja golongan berkenaan dalam usaha membantu mereka merasai sendiri pengalaman pertama menonton persembahan sarkas.

“Golongan Anjung Singgah dan Pusat Transit Gelandangan adalah di bawah seliaan YKN. Mereka menjalani intervensi yang kami kendalikan dalam usaha mengintegrasikan semula mereka ke dalam komuniti.
“Lawatan mereka ke Great British Circus ini boleh dikatakan sebagai riadah buat mereka dan sebahagian daripada peluang untuk melepaskan stres,” katanya kepada UtusanTV.

Menurut beliau, lawatan riadah seperti ini juga memberikan peluang kepada mereka untuk mencungkil minat anak-anak istimewa yang sedang menjalani program Anjung Sinar di bawah seliaan yayasan itu.
“Selepas persembahan tadi ada antara anak-anak ini datang dan beritahu tentang keterujaan dan minat mereka apabila menonton kemahiran-kemahiran yang ditonjolkan oleh penghibur sarkas seperti persembahan yang melibatkan motosikal,” katanya.

Great British Circus akan terus membuat persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil sehingga 3 September ini sebelum meneruskan jelajah mereka di Malaysia ke Sutera Mall Skudai, Johor bermula 8 September sehingga 8 Oktober depan.


Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

