LIMA pekerja sebuah resort di Ubud, Gianyar dekat Bali dilaporkan maut selepas lif yang dinaiki mereka terputus dan jatuh ke dalam gaung sedalam 100 meter.
Kejadian malang itu berlaku pada Jumaat, kira-kira pukul 1.00 petang ketika kelima-lima mangsa dalam perjalanan naik ke tingkat atas resort.
Ketua Polis Daerah Ubud, Komisioner Made Uder berkata, saksi iaitu seorang pekerja yang dikenali sebagai Ketut Suwiarta telah mendengar jeritan disusuli bunyi rempuhan yang kuat.
“Saksi kemudian melihat ke bawah melalui tangga dan mendapati lima orang pekerja dalam keadaan terbaring dan mendapati tiga orang mangsa masih bernafas,” katanya memetik laporan Detik.com.
Tambahnya, tali keluli lif itu dipercayai tidak cukup kuat untuk menarik muatan ke atas resort sebelum terputus dan menyebabkan ia meluncur laju ke bawah.
“Dua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala tiga lagi maut ketika menerima rawatan di hospital,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gianyar, Asisten Komisioner Ketut Widiada berkata, hasil siasatan mendapati tali lif itu terputus disebabkan muatan berlebihan.
Berdasarkan buku panduan resort, lif tersebut sepatutnya hanya boleh dinaiki empat orang.
“Bagaimanapun ketika kejadian, lif dinaiki oleh lima orang. Polis masih menjalankan siasatan mengenai punca kemalangan,” ujarnya.
Menurut pemilik Ayuterra Resort, Linggawati Utomo berkata, lif tersebut telah diberikan kelulusan untuk berfungsi.
“Lif tersebut telah diuji pada November 2022 dan dibenarkan untuk diguna sehingga November 2023,” katanya.
Jelas Linggawati, beliau berjanji akan menanggung kos keseluruhan majlis pengebumian mangsa yang terlibat selain memberikan pampasan serta insurans.
Selain itu, dua pelancong yang menginap di resort terbabit turut dipindahkan bagi tujuan keselamatan dan diberikan pampasan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

