PKFZ raih pelaburan RM566 juta, muncul hab logistik pintar – Loke

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

ZON Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perdagangan dan logistik serantau apabila berjaya menarik pelaburan terkumpul bernilai RM566 juta menerusi beberapa projek pembangunan baharu yang dilancarkan hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembangunan itu membuktikan keyakinan berterusan pelabur terhadap ekosistem industri dan logistik negara selain bakal merangsang pertumbuhan ekonomi, meningkatkan eksport serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menurutnya, pelancaran Wisma Golden Horse, Centralised Labour Quarters (CLQ), kilang Suntek Materials Sdn Bhd, Fasa 2 Kilang Golden Horse Rubber serta pembangunan PKFZ sebagai Taman Perindustrian Pintar merupakan satu lagi pencapaian penting buat kawasan berkenaan.

Loke berkata, transformasi PKFZ kepada taman perindustrian pintar menandakan era baharu dalam pendigitalan sektor logistik negara menerusi penggunaan pelbagai sistem operasi bersepadu yang meningkatkan kecekapan pengurusan dan pergerakan dagangan.

Katanya, penggunaan teknologi seperti Sistem Pengurusan Zon Bebas (FZMS), Sistem Operasi Pintu Automatik (AGOS), Pas Pelabuhan Digital, kecerdasan buatan (AI) serta pemantauan dron menjadikan PKFZ antara zon bebas paling moden di negara ini.

“Usaha pemulihan aset yang sebelum ini kurang dimanfaatkan turut menunjukkan hasil memberangsangkan apabila 86 peratus ruang komersial yang terbiar hampir dua dekad berjaya diaktifkan semula.

“Antara inisiatif dilaksanakan ialah penukaran dua blok bangunan pejabat lapan tingkat kepada penginapan pekerja berpusat (CLQ), manakala sebuah hotel lapan tingkat kini dijadikan ibu pejabat serantau Golden Horse Rubber dan dikenali sebagai Wisma Golden Horse,” katanya.

Beliau berkata, pusat pameran dan kawasan parkir berbumbung turut diubah fungsi menjadi fasiliti penyimpanan kenderaan, manakala sebuah lagi bangunan pejabat dibangunkan semula sebagai kompleks perniagaan yang menempatkan pelbagai kemudahan termasuk klinik, kafe, restoran dan gimnasium.

Menurutnya, langkah strategik itu membantu menjana sumber pendapatan baharu selain memberi manfaat kepada pelabur dan komuniti setempat di Pulau Indah.

Loke berkata, hasil transformasi yang dilaksanakan menyaksikan PKFZ merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarahnya iaitu RM108 juta pada 2025.

Pada masa sama, kata beliau, jumlah pengendalian kontena meningkat 14.9 peratus kepada 110,467 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) sehingga Mei tahun ini berbanding tempoh sama sebelumnya.

“Pelaburan dari China terus berkembang apabila keluasan ruang yang digunakan syarikat berkaitan negara itu melebihi 3.18 juta kaki persegi setakat Januari lalu.

“Syarikat berkaitan China menyumbang sebanyak 88,070 TEU pada 2025 atau kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan pengendalian kontena PKFZ, sekali gus mengukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan China,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata, memorandum persefahaman (MoU) antara PKFZ dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang dimeterai awal bulan ini dijangka membantu menangani isu kekurangan tenaga kerja mahir yang sering dibangkitkan pelabur.

Melalui kerjasama itu, kata beliau, kira-kira 500 peluang pekerjaan dikenal pasti oleh Golden Horse merangkumi pelbagai bidang termasuk pengeluaran dan kejuruteraan bagi bekas anggota tentera serta graduan TVET.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh pembangunan infrastruktur, memudah cara pelaburan dan mempercepat transformasi digital bagi memastikan Malaysia kekal sebagai hab maritim, logistik dan perdagangan utama di rantau ini.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bekas tentera mula bertugas sebagai warden MRSM Rabu ini, MARA tekad banteras buli

SERAMAI 16 warden lelaki sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera akan mula melaporkan diri di lapan Maktab Rendah...

More Articles Like This