KEMENTERIAN Luar mengesahkan seorang lelaki dipercayai warganegara Malaysia telah ditahan pihak berkuasa di Oslo, Norway kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengintipan.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, Sweden sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Oslo.
Menurut kenyataan itu, ia bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes tersebut.
“Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya sekiranya diperlukan,” katanya dalam kenaytaan hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan seorang pelajar Malaysia berusia 25 tahun ditahan pihak berkuasa tempatan di Norway kerana didakwa mengintip termasuk mencuri dengar secara haram melalui pelbagai peranti teknikal.
Baca artikel lain: Penagih dadah curi tabung masjid selepas subuh ditahan polis
Agensi perisikan polis Norway, dikenali sebagai PST, mendakwa lelaki berkenaan cuba mengintip pejabat perdana menteri, Kementerian Pertahanan dan pejabat kerajaan lain di Oslo, lapor media Norway.
PST memberitahu Norwegian Broadcasting (NRK) bahawa lelaki itu, yang ditahan pada Jumaat lalu, sudah didakwa di mahkamah kelmarin berikutan tindakannya melakukan operasi pengintipan dan risikan terhadap negara itu.
Lelaki itu, yang identitinya tidak didedahkan, mengaku tidak bersalah ketika sesi soal jawab oleh pihak polis manakala pihak berkuasa Norway pula tidak menyatakan lelaki itu mengintip bagi negara mana.
Polis turut merampas beberapa barangan daripada lelaki itu termasuk peranti pembawa data elektronik yang kini sedang disiasat oleh PST.
Menurut PST, pelajar itu tidak mendaftar di institusi pendidikan di Norway dan menetap di negara berkenaan dalam jangka masa yang agak singkat.
Mengikut waran tangkap yang dikeluarkan, NRK berkata suspek didakwa ditahan ketika sedang melakukan pengawasan isyarat haram di dalam sebuah kereta sewa berhampiran pejabat perdana menteri Norway dan Kementerian Pertahanan.
Dia kemudian didakwa atas tuduhan ‘signaletterretning’, yang menurut portal NewsInEnglish berpangkalan di Oslo, adalah terma Norway merujuk kepada pengumpulan maklumat menggunakan peranti isyarat elektronik.
Ia termasuk mencuri dengar isyarat elektronik seperti perbualan menerusi telefon bimbit dan teks pesanan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

