POLIS akan merakam keterangan Howard Lee Chuan How dalam masa terdekat susulan dakwaan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu membuat tafsiran sendiri mengenai ayat al-Quran.
Perkara tersebut disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain seperti dilapor Sinar Harian Online, hari ini.
Menurut Mohd Shuhaily, keterangan Howard akan direkodkan dalam masa terdekat.
“Saya sahkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman menyiasat kes ini.
“Kita akan rekod keterangan beliau (Howard Lee) dalam masa terdekat,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Polis rakam keterangan 11 individu terlibat Himpunan Selamatkan Malaysia
Terdahulu, Polis Perak menyerahkan siasatan terhadap bekas Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY) itu kepada Bukit Aman.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, siasatan akan dijalankan USJT JSJ Bukit Aman susulan laporan asal atau laporan pertama mengenainya yang dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Mohd Yusri memaklumkan, hanya satu laporan diterima oleh Polis Perak iaitu yang dibuat Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak, semalam.
Jabat membuat laporan polis bagi meminta siasatan dan tindakan dikenakan terhadap Howard Lee kerana dianggap menghina Islam.
Dalam video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, Howard didakwa memetik ayat 59 Surah an-Nisa.
Beliau didakwa memetik ayat tersebut untuk mengkritik Pas yang didakwa menunggang agama semata-mata untuk meraih undi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

