SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa pengamal media membuat pelaporan bertanggungjawab yang menekankan kepada ketepatan konteks liputan berita.
Ia susulan laporan berita didakwa dikeluarkan sebuah portal berhubung ucapan yang disampaikan di Parlimen, baru-baru ini.
MCMC dalam kenyataan turut menekankan kepentingan pelaporan tepat yang merujuk konteks sebenar ucapan yang disampaikan di Parlimen tanpa menggunakan kandungan tersebut bagi tujuan menyebarkan kebencian dan mencetuskan provokasi.
Menurut MCMC, pemerhatian mendapati beberapa pelaporan telah dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan.
“Bagi mencegah berlakunya sebarang cubaan melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), MCMC meminta kerjasama penuh daripada pihak atau individu berkaitan serta saluran berita.
“MCMC memandang serius kesan akibat pelaporan yang kurang bertanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, MCMC turut menasihatkan pengamal media serta saluran berita untuk merujuk kepada Kod Kandungan yang memberi panduan jelas berhubung standard kandungan selaras dengan AKM 1998.
Jelas suruhanjaya itu, pengamal media dapat memastikan pelaporan yang bertanggungjawab selain mengelakkan daripada melangkaui batas kebebasan bersuara dengan mematuhi Kod Kandungan itu.
“Garis panduan yang digariskan dalam Kod Kandungan menggalakkan pendekatan bertanggungjawab dalam peruntukan kandungan dan prosedur kawalan kendiri.
Baca artikel berkaitan: ‘Kebebasan bersuara terhad sokong kerajaan’ – Tun M
“Pendekatan ini bertujuan untuk memupuk kreativiti, inovasi dan pertumbuhan sihat dalam industri.
“Dengan mengikuti garis panduan tersebut, saluran-saluran berita boleh menyumbang kepada suatu wacana yang lebih seimbang dan termaklum, bebas daripada sebarang manipulasi dan maklumat yang kurang tepat,” katanya.
Terdahulu, MCMC didakwa telah menuntut sebuah portal berita meminda atau menurunkan laporannya mengenai kekecohan di Dewan Rakyat, Selasa lalu.
Portal berita itu dalam laporannya turut mendakwa MCMC memberi tempoh dua jam untuk berbuat demikian atau berdepan ‘tindakan penguatkuasaan lanjut’.
Susulan itu, tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin dalam hantaran di Facebook ‘bertanyakan’ sama ada menjadi kesalahan sekiranya beliau mengulang sebut kes mahkamah melibatkan Perdana Menteri dalam tulisannya.
Sebelum ini, sekumpulan tokoh wartawan veteran termasuk A Kadir membantah tindakan MCMC sejak akhir-akhir ini yang didakwa bertindak sebagai ‘abang besar’.
Kebimbangan itu diluahkan apabila MCMC dilihat sering memanggil pengamal media untuk memberi penjelasan mengenai kandungan yang dilaporkan menerusi portal berita dan laman dalam talian masing-masing.
Selain A Kadir, kenyataan itu turut dikeluarkan oleh Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk Hussamuddin Yaacob, Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Dr Chamil Wariya.
Turut serta dalam kenyataan bersama itu ialah Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Dr G Manimaran.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

