PENGARAH video muzik Malampagi nyanyian Saixse iaitu Nadhir Nasar teguh mempertahankan naskhah arahannya itu yang didakwa membawa unsur kemaksiatan.
Nadhir atau Ahmad Nadhir Ahmad Nasar,27, berkata, klip video terbabit memaparkan dunia realiti generasi muda zaman sekarang.
Jelas pelakon Projek: High Council itu, dia seorang yang berpegang kepada prinsip untuk menyampaikan mesej kepada umum.
“Saya berada dalam industri bukan untuk glamor atau kejar pengikut. Untuk menjadi pengarah, saya sampaikan mesej yang mungkin orang kata keterlaluan tapi itulah realitinya.
“Orang akan faham dan pada akhirnya akan kembali kepada Allah. Lagu itu dimainkan di radio yang mana persepsi orang anggap ia lagu ‘healing’ stail generasi Z.
“Jadi, saya tukar persepsi tersebut kepada lagu yang ada mesej yang boleh digunakan dalam kehidupan,” katanya kepada URTV.
Nadhir berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama Super Wira di TGV Cinema di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Nadhir menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai yang mana baik atau sebaliknya berhubung video muzik terbabit.
“Setiap manusia ada pilihan masing-masing. Saya dah sampaikan mesej dengan jelas.
“Saya juga dah sampaikan apa yang baik dan buruk. Terpulanglah kepada penonton untuk menilai.
“Sebelum saya mengarahkan video muzik tersebut, saya sudah jangkakan kontroversi ini akan berlaku. Tapi setiap individu ada selera berbeza, sukar nak puaskan hati orang,” jelasnya.
Dalam pada itu, aktor tinggi lampai itu turut tidak kisah sekiranya video muzik tersebut diharamkan.
Malah, Nadhir turut menyangkal dia merupakan seorang pengarah provokatif.
“Saya tak risau jika video muzik tersebut diharamkan. Saya sudah jalankan tanggungjawab sebagai pengarah.
“Saya dah buat kerja saya, terpulanglah orang luar untuk menilai karya tersebut.
“Itu bukan bidang (menyekat) saya. Saya bukan sukakan provokasi cuma saya suka benda yang realiti.
“Suka atau tidak kena terima. Kita lebih selesa hidup dalam penafian dan tidak selesa dengan kebenaran,” katanya.
Terdahulu pengguna media sosial mendakwa lirik dan video muzik Malampagi berunsur lucah disamping memaparkan nilai sosial yang tidak baik kepada generasi muda.
Malah, individu terbabit turut mempersoalkan kredibiliti badan bertanggungjawab kerana lagu tersebut masih lagi dimainkan di radio.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

