Letak pelekat bergambar kemaluan, lucah pada kenderaan diharamkan dalam Islam

Dari Penulis

MELETAKKAN pelekat (sticker) pada kenderaan yang memaparkan gambar anggota kemaluan atau simbol lucah adalah diharamkan dalam Islam.

Demikian huraian jawapan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Al Kafi Li al-Fatawi iaitu kupasan ringkas persoalan-persoalan agama di media sosial oleh warganet.

Ia dipercayai ada kena-mengena dengan sebuah video dimuat naik seorang pengguna media sosial memaklumkan terdapat pihak mengeluarkan dan menggunakan cakera brek motosikal mempunyai lambang lucah.

Susulan itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan membuat siasatan lanjut berkaitan perkara berkenaan.

Dalam huraian jawapan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan tersebut bercanggah dengan tuntutan sifat haya’ (malu), membawa kepada fitnah dan bercanggah dengan maqasid syarak.

Perlindungan maruah diri

“Islam adalah agama yang amat mementingkan aspek moral, kesopanan dan perlindungan maruah diri serta masyarakat.

“Nilai malu (al-Haya’) dianggap sebagai perhiasan iman yang menjadi benteng daripada perbuatan maksiat dan tingkah laku yang menjatuhkan martabat seseorang.

“Sebarang bentuk ekspresi atau pameran di ruang awam yang boleh mencemarkan nilai ini perlu ditangani berdasarkan prinsip-prinsip syarak,” jelasnya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menambah, penggunaan gambar atau simbol yang melambangkan organ kemaluan, sekalipun ia bukan representasi lakaran manusia sebenar atau lukisan realistik, dikategorikan sebagai taswir (perbuatan menggambarkan) yang menjurus kepada unsur lucah dan tidak bermoral.

Dalam konteks syarak jelasnya, perbuatan sebegini melanggar adab kesopanan awam (al-adab al-‘ammah) dan ia juga bercanggah dengan maqasid syarak iaitu menjaga agama dan akal.

Malah katanya, meletakkan pelekat yang memaparkan gambar lucah atau kemaluan secara terang-terangan di tempat awam yang mudah dilihat, seperti pada kenderaan, merupakan tindakan yang secara langsung menghilangkan sifat malu dan secara tidak langsung mendorong penormalisasian paparan aurat atau elemen seksual dalam kalangan masyarakat.

“Perbuatan ini jelas bercanggah dengan nilai-nilai kesopanan dan adab yang digariskan oleh agama.

“Mempamerkan simbol-simbol yang merujuk secara jelas kepada organ seksual adalah diklasifikasikan sebagai fahisyah (perkara keji) dan wajib dijauhi.

“Walaupun perbuatan ini mungkin dianggap sebagai seni atau gurauan oleh sesetengah pihak, tindakan sedemikian adalah dilarang kerana ia berpotensi merosakkan moral dan keharmonian sosial,” katanya.

Semalam UtusanTV melaporkan, pihak JAWI akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membendung penjualan dan pengeluaran cakera brek motosikal mempunyai lambang lucah kerana ia melibatkan pengeluaran barangan yang tidak sopan dan bertentangan dengan tatasusila rakyat Malaysia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Krisis Negeri Sembilan: Semua pihak perlu ikut jalur hukum yang sah – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa semua pihak perlu mengikut jalur hukum yang sah serta menghormati Perlembagaan...

More Articles Like This